Monday, 6 December 2021

SIRI 197 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 27: Sabar dan Syukur

Tajuk Mudarasah: Lima Keadaan Syukur Dalam Bala

Halaman Rujukan Kitab : 515

Nota Mudarasah:

Sekiranya benar kata-kata kita bahawa setiap ciptaan Allah itu mempunyai nikmat dan hikmat padanya sama ada kepada semua hamba atau sebahagiannya, maka bala yang diberikan oleh Allah juga ada mempunyai nikmat, sama ada kepada orang yang ditimpa bala tersebut atau kepada orang lain. Oleh sebab itu, perasaan syukur dan sabar terhimpun dalam diri seseorang hamba dalam semua keadaan yang tidak boleh disifatkan sebagai bala atau nikmat secara mutlak. Dalam satu perkara, kadang-kadang manusia akan merasa gembira pada satu aspek dan merasa sedih pada aspek yang lain. Justeru, dia akan bersabar terhadap aspek yang menyedihkan nya dan bersyukur terhadap aspek yang menggembirakannya.

Seorang yang berakal boleh bergembira dan bersyukur pada setiap kefakiran, kesakitan, ketakutan dan bala di dunia kerana lima perkara berikut:

i. Setiap musibah dan kesakitan itu mungkin menjadi lebih berat dari apa yang telah berlaku kerana kekuasaan Allah adalah tidak terhad. Sekiranya Allah menggandakan kesakitan atau musibah itu, apakah kuasa yang mampu menghalangnya?. Oleh itu hendaklah ia bersyukur kerana tidak dikenakan musibah yang lebih berat.

ii. Musibah itu bukan pada agama. Umar bin al-Khattab berkata: Setiap musibah yang aku alami, Allah Taala kurniakan kepadaku empat nikmat iaitu kerana musibah itu bukan pada pegangan agamaku, ianya bukan musibah yang lebih besar, aku tidak terhalang dari meredainya dan aku mengharapkan pahala daripadanya. Seorang lelaki berkata kepada Sahl bin Abdullah: Seorang pencuri telah masuk ke rumahku dan mencuri baranganku. Sahl pun berkata kepadanya: Bersyukurlah kepada Allah, kerana kalau syaitan yang memasuki hati kamu lalu merosakkakn iman kamu, ketika itu apa lagi yang kamu boleh lakukan?. Orang yang berhak memukulmu dengan seratus kali sebatan tiba-tiba dia hanya memukul sepuluh kali sahaja, dia sepatutnya disyukuri (diucapkan terima kasih).

iii. Setiap balasan kemungkinan akan ditangguhkan sehingga ke akhirat. Orang yang ditimpa musibah dan dugaan di dunia, dia masih boleh dipujuk dan dihiburkan sehingga musibah yang menimpanya terasa ringan. Manakala balasan di akhirat akan berkekalan dan seandainya ia tidak berkekalan pun, tidak ada cara untuk mengurangkan kadar keseksaan tersebut. Sesiapa yang telah dipercepatkan balasannya di dunia tidak akan diazab untuk kali kedua bagi kesalahan yang sama. Itulah maksud hadis Rasulullah s.a.w. dalam sahih Muslim:

Riwayat Bukhari (10/89), Muslim (2572), At-Tirmizi (10/89), Malik (2/941) daripada Aisyah r.ha.

iv. Sesungguhnya setiap musibah telah tercatat di luh mahfuz yang pasti akan menimpa seseorang. Apabila ia menimpa seseorang, bermakna satu musibah telah selesai dan ia tidak akan menimpanya lagi. Inilah dia nikmat yang dimaksudkan.

V. Pahala dari sesuatu musibah adalah lebih besar dari musibah yang menimpa itu. Musibah yang menimpa seseorang di dunia merupakan laluan mudah menuju ke akhirat. Larangan terhadap budak dari terus bermain adalah nikmat kepadanya. Sekiranya dia dibiarkan terus bermain, tentu dia akan terhalang dari kejayaan dalam bidang ilmu dan adab, di mana dia akan rugi sepanjang usianya. Demikian juga harta, keluarga, saudara mara dan teman-teman. Kadang-kadang ia boleh menjadi sebab kepada kemusnahan seseorang. Golongan mulhid (athies) di kemudian hari akan menyesal dan berangan-angan bahawa alangkah baiknya kalau mereka dahulu menjadi orang gila atau kanak-kanak (yang tidak dihisab) dan tidak mempergunakan akal dengan sewenang-wenangnya dalam perkara yang berkait dengan agama Allah yang suci. Setiap perkara sebegini yang berlaku kepada seseorang, perlu digambarkan bahawa padanya terdapat kebaikan untuk agama mereka. Justeru, dia hendaklah bersangka baik kepada Allah dan merenung kebaikan dari setiap musibah yang menimpanya serta bersyukur kepada Allah terhadap apa yang berlaku itu. Sesungguhnya hikmat Allah Taala amatlah luas. Allah lebih mengetahui tentang kemaslahatan hidup hamba-Nya. Di akhirat nanti, setiap hamba akan bersyukur kepada Allah Taala di atas segala bala yang menimpanya apabila dia melihat ganjaran pahala yang diterimanya. Sepertimana kanak-kanak yang telah matang akan berterima kasih kepada guru dan ibubapanya kerana memukul dan mendidiknya dahulu. Ini kerana dia melihat kesan yang baik daripada didikan mereka itu.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment