Tuesday, 7 December 2021

SIRI 198 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 27: Sabar dan Syukur

Tajuk Mudarasah: Musibah Adalah Didikan Allah

Halaman Rujukan Kitab : 517

Nota Mudarasah:

Musibah merupakan didikan dari Allah. Kelembutan dan kasih sayang-Nya kepada hamba-hamba-Nya adalah lebih baik dan sempurna dari kasih sayang ibubapa kepada anak-anaknya. Dalam sebuah hadis ada menyebutkan:


Perlu diketahui bahawa ibu kepada segala perkara yang membinasakan ialah cintakan dunia. Manakala ibu kepada kejayaan ialah menjauhkan hati dari dunia. Nikmat yang datang mengikut kehendak atau kemahuan hati tanpa diselangi dengan bala dan musibah yang menimpa akan menyebabkan hati merasa tenang dan mesra kepada dunia. Apabila banyak musibah yang menimpa, hati akan merasa terganggu dengan dunia lalu mengurangkan keinginannya kepada dunia.

Dengan itu, dia akan menganggap dunia sebagai penjara kepadanya. Oleh itu, kemuncak harapannya ialah melepaskan diri dari dunia sebagaimana banduan yang ingin melepaskan diri dari penjara.

Rasa sedih dan sakit adalah perasaan yang tidak dapat dielakkan. Ia sama seperti rasa sukanya kamu terhadap tukang bekam atau sesiapa yang memberikan ubat yang mujarab secara percuma. Kamu akan merasa sakit tetapi dalam masa yang sama, kamu juga akan merasa gembira.

Oleh itu kamu bersabar terhadap kesakitan dan bersyukur dengan kegembiraan tersebut. Siapa yang mengetahui keadaan ini, dapatlah digambarkan bahawa dia sebenarnya akan bersyukur terhadap bala yang menimpanya. Sesiapa yang tidak beriman bahawa pahala yang terdapat pada suatu musibah adalah lebih besar dari musibah tersebut, dia tidak akan bersyukur terhadap musibah yang menimpanya itu.

Diriwayatkan bahawa seorang badwi memberi takziah kepada Ibnu Abbas yang kematian bapanya:

Sabarlah dan kami akan bersabar bersamamu,
Sesungguhnya kesabaran rakyat bergantung kepada kesabaran pemimpin.
Kesabaranmu itu lebih baik dari diri al-Abbas selepas pemergiannnya,
Dan Allah Taala lebih baik untuk al-Abbas dari dirimu.

Lantas Ibnu Abas berkata: Tiada siapa yang memberi takziah kepadaku lebih baik dari apa yang dia ucapkan itu.

Jenis-jenis bala dan balasan bagi orang yang bersabar telah dinyatakan sebelum ini. Seandainya ada yang berkata: Hadis-hadis yang menyebut berkenaan kelebihan sabar menunjukkan bahawa bala yang menimpa di dunia adalah lebih baik dari nikmat. Berdasarkan perkara ini, adakah kita patut meminta bala dari Allah s.w.t.?

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment