Saturday, 11 December 2021

SIRI 202 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 28: Berharap (Ar-Raja') Dan Takut (Al-Khauf)

Tajuk Mudarasah: Contoh Beza Antara Harapan Dan Impian

Halaman Rujukan Kitab : 523

Nota Mudarasah:

Ahli rohani (Arbaabul Qulub) telah sedia maklumi bahawa dunia adalah tempat bercucuk tanam untuk hari akhirat. Hati adalah bumi dan iman yang ada padanya adalah benihnya. Ibadat ketaatan yang dilakukan umpama proses membersihkan bumi, membuat saliran air dan menyiraminya. Hati yang asyik dan leka dengan dunia seumpama tanah bergaram yang tidak akan menumbuhkan benih.

Hari kiamat pula adalah hari untuk menuai. Seseorang hanya akan menuai apa yang ditanamnya. Tanaman itu tidak akan tumbuh melainkan dengan benih iman. Jarang sekali iman akan memberi manfaat atau subur ketika bersama hati yang kotor dan akhlak yang buruk sebagaimana bijian yang tidak akan tumbuh pada tanah yang bergaram.

Oleh sebab itu, pengharapan seorang hamba kepada keampunan Allah boleh disamakan dengan pengharapan seorang peladang. Sesiapa yang menanam benih yang baik di tanah yang subur dan menyiramnya pada masa-masa yang ditetapkan, kemudian dia membersihkan kawasan tersebut daripada duri dan lalang lalang serta perkara-perkara yang boleh merosakkan tanaman itu, seterusnya dia duduk menunggu kurniaan Allah Taala iaitu agar Allah menghindarkan daripada berlaku bala bencana dan segala jenis penyakit yang merosakkan tanaman tersebut sehingga tanamannya itu sempurna dan mencapai matlamatnya, maka tindakannya menunggu (setelah melakukan perkara-perkara tersebut) itulah yang dikatakan berharap.

Sekiranya benih itu ditanam di tanah yang bergaram, keras dan tinggi yang air tidak boleh sampai kepadanya, kemudian tidak melakukan proses yang sepatutnya untuk menumbuhkan benih itu tetapi hanya menanti masa untuk menuai, penantian seperti ini dinamakan bebal dan terpedaya bukannya berharap. Sekiranya benih itu disemai di tanah yang baik tetapi tiada air dan dia hanya pasrah menunggu hujan, penantian sebegini dinamakan impian.

Oleh kerana itu, sifat berharap hanya benar-benar wujud dan berlaku kepada sesiapa yang menanti kedatangan sesuatu yang dicita-citakan setelah melakukan berbagai usaha yang termampu (dalam ruang lingkup ikhtiar manusia) terlebih dahulu. Perkara yang selebihnya iaitu yang di luar daripada kemampuan manusia. adalah kurniaan daripada Allah seperti terhindar daripada setiap halangan dan perkara yang merosakkan.

Oleh itu, apabila seseorang hamba menanam benih iman, menyiraminya dengan air ketaatan, menyucikan hatinya daripada duri akhlak yang buruk dan seterusnya menunggu kurniaan Allah Taala iaitu agar dikekalkannya dalam keadaan begitu sehingga dia mati dan dikurniakan kepadanya husnul khatimah (mati dalam iman) yang membawa kepada keampunan-Nya, maka penantian sebegini adalah suatu pengharapan yang terpuji yang akan mendorongnya untuk terus melakukan ketaatan dan melaksanakan tuntutan iman sehingga mati. Sekiranya dia tidak menyirami benih iman dengan air ketaatan atau membiarkan hati dipalit akhlak akhlak yang buruk dan bergelumang dengan keseronokan dunia kemudian mengharapkan keampunan, maka itu adalah suatu sikap yang bebal, dungu dan terpedaya (ghurur).

Firman Allah Taala:



Allah mencela orang yang berkata:



Satu hadis yang diriwayatkan oleh Syaddad bin Aus r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

Riwayat at-Tirmizi (2577), Ahmad (4/124), Ibnu Majah (4260), at-Tobrani dalam al-Kabir (71471), (7143) dan dalam as-Soghir (2/36), al-Hakim dalam al-Mustadrak (1/57), (4/325) dan al-Qudhoie dalam Musnad as-Syihab. Pada sanadnya tedapat Abu Bakar bin Abdullah bin Abi Maryam al Ghasani. Beliau seorang perawi yang daif. Rumahnya pernah dimasuki pencuri menyebabkan fikirannya terganggu. Walau bagaimanapun hadis ini disahkan oleh Imam Bukhari mengikut syarat-syaratnya.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment