Saturday, 18 December 2021

SIRI 209 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 28: Berharap (Ar-Raja') Dan Takut (Al-Khauf)

Tajuk Mudarasah: Bahagian-Bahagian Sifat Takut (Al Khauf)

Halaman Rujukan Kitab : 536

Nota Mudarasah:

Kedudukan orang yang takut adalah berbeza. Ada di antara mereka yang takut mati dalam keadaan tidak sempat bertaubat. Ada pula yang takut leka dan tertipu dengan kesenangan, atau tergelincir kaki dari beristiqamah. Ada juga yang takut kepada kesudahan yang buruk (suul khatimah). Sifat takut yang paling tinggi antara semua ini ialah yang pertama kerana daripadanyalah lahir sifat takut yang ke seterusnya. Allah akan mengangkat sesiapa yang dikehendakinya dan juga menghina sesiapa yang dikehendaki-Nya tanpa memerlukan perantaraan. Allah sekali-kali tidak dipersoalkan mengenai segala perkara yang dilakukan-Nya.

Allah telah berfirman (dalam hadis Qudsi):

Mereka itu berada di dalam syurga dan Aku sedikitpun tidak peduli dan mereka yang lain berada dalam neraka dan Aku sedikitpun tidak peduli.¹
1 Ini adalah satu petikan daripada hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad (5/239) daripada Muaz r.a..

Antara jenis orang yang takut juga ialah mereka yang takut kepada sakaratul maut atau soalan kubur daripada malaikat Mungkar dan Nakir atau azab kubur itu sendiri.

Terdapat juga mereka yang takut kepada kehebatan berdiri di hadapan Allah Taala, takut dihisab amalannya dengan soal jawab yang terperinci, takut ketika melintasi titian as-sirat, takut kepada kedahsyatan neraka, takut diharamkan dari memasuki syurga ataupun takut dia akan dihijab (dilindung atau dihalang) daripada melihat Allah s.w.t.. Kesemua ini adalah perkara yang tidak disukai dan pada masa yang sama adalah pencetus kepada sifat takut.

Martabat takut yang paling tinggi ialah takut terhijab dari Allah s.w.t., iaitu sifat takut yang dimiliki oleh golongan yang mengenali Allah ('aarifin). Manakala sifat takut yang selainnya itu adalah sifat takut yang dimiliki oleh golongan zuhud (zahidin) dan golongan yang kuat beribadat (abidin).

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment