Thursday, 23 December 2021

SIRI 214 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 28: Berharap (Ar-Raja') Dan Takut (Al-Khauf)

Tajuk Mudarasah: Punca-Punca Berlakunya Suul Khatimah

Halaman Rujukan Kitab : 546

Nota Mudarasah:

Punca berlakunya suul khatimah terlalu banyak dan tidak dapat dihitung secara terperinci. Tetapi boleh disebutkan di sini secara umum iaitu;

Punca yang mendatangkan perasaan syak dan ingkar ketika mati ialah perkara bid'ah. Iaitu dia beriktikad berkaitan zat, sifat, atau perbuatan Allah dengan iktikad yang bercanggah dengan yang sebenarnya sama ada kerana taqlid atau pandangannya yang salah. Apabila tiba saat kematiannya, terdedahlah kebenaran bahawa segala pegangannya selama ini adalah silap. Pada masa itu, dia akan menyedari bahawa apa yang menjadi pegangannya selama ini tidak mempunyai asas.

Siapa yang beriktikad berkenaan zat Allah dan sifatnya dengan iktikad yang umum menurut pegangan salaf tanpa mengkaji dan mencari dalilnya, dia akan terselamat dari bahaya ini, Insya Allah.

Manakala punca kesudahan (mati) dalam maksiat ialah iman yang lemah. Sifat inilah yang menyebabkan seseorang itu bergelumang dalam maksiat. Maksiat akan memadamkan cahaya keimanan dan apabila iman menjadi lemah, lemahlah kecintaannya kepada Allah. Apabila datang sakaratul maut, kelemahan itu akan bertambah kerana dia merasa akan meninggalkan dunia ini. Sebab yang membawa kepada perasaan ini ialah cintakan dunia dan cenderung hati kepadanya. Di samping iman yang lemah yang menyebabkan cintanya kepada Allah Taala turut menjadi lemah.

Sesiapa yang hatinya mencintai Allah lebih dari mencintai dunia, dia akan bebas dari bahaya ini dan akan kembali mengadap Allah seumpama pulangnya seorang hamba yang baik yang sangat merindui tuannya. Kepulangannya itu sudah cukup mendatangkan kebahagiaan dan kegembiraan kepadanya apatah lagi kemuliaan yang berhak dan bakal diterimanya daripada tuannya nanti.

Siapa yang tercabut rohnya dalam keadaan terlintas di hatinya perasaan ingkar terhadap perbuatan Allah atau berterusan menyalahi perintah-Nya, dia akan bertemu dengan Allah seumpama kembalinya seseorang yang dipaksa berbuat demikian. Dia tidak akan terlepas daripada kesengsaraan dan azab yang layak diterimanya.

Sesiapa yang inginkan jalan yang selamat, dia hendaklah membebaskan dirinya daripada faktor-faktor yang membinasakannya. Di samping itu dia hendaklah mengetahui bahawa keadaan hati yang mudah berbolak balik dan berubah-ubah itu adalah suatu keadaan yang sangat membimbangkan hati-hati orang yang takut kepada Allah Taala. Sahl bin Sa'd meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda:


1 Riwayat al-Bukhari (11/436) dan Muslim (112).

Diriwayatkan bahawa: Apabila roh seseorang hamba dibawa naik ke langit, Malaikat akan berkata: Maha suci Allah! Hamba ini telah berjaya melepasi dirinya daripada syaitan. Beruntunglah dia. Bagaimana dia boleh berjaya?.

Apabila kamu mengetahui makna su-ul khatimah, maka hendaklah kamu berhati-hati terhadap punca-puncanya serta sediakan bekalan yang sepatutnya untuk menghadapinya. Jangan sekali-kali kamu menangguhkan persediaan tersebut kerana umur manusia amat pendek. Setiap nafas yang kamu hembus adalah seumpama penamat kepada riwayat hidup kamu kerana roh kamu boleh saja dicabut ketika itu. Manusia akan mati dalam keadaan sepertimana dia hidup dan akan dihimpun mengikut keadaannya ketika mati.

Membuat persediaan yang selayaknya bukanlah suatu yang mudah kecuali dengan kamu bersifat qana'ah (berpada dengan apa yang boleh meneruskan kelangsungan hidupmu) dan juga kamu enggan mencari yang lebih dari itu.

Kami akan menceritakan kepada kamu kisah-kisah orang yang takut kepada Allah, semoga ia dapat melembutkan hati kamu. Kamu meyakini bahawa para nabi dan wali Allah adalah lebih berakal dan pintar daripada kamu, maka perhatikanlah perasaan takut mereka semoga kamu juga dapat mempersiapkan dirimu dengannya.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment