Thursday, 6 January 2022

SIRI 228 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 29: Fakir dan Zuhud

Tajuk Mudarasah: Konsep Zuhud

Halaman Rujukan Kitab : 569

Nota Mudarasah:

Konsep Zuhud: Kelebihan, Kedudukan, Bahagian dan yang Berkaitan Dengannya

Ketahuilah bahawa zuhud di dunia merupakan antara maqam 'salikin' (orang yang menerokai jalan menuju kepada Allah Taala) yang sangat mulia. Zuhud bererti mengalihkan tumpuan dan keinginan dari satu perkara kepada satu perkara lain yang lebih baik darinya. Syarat perkara yang dihindari itu hendaklah perkara yang digemari dan diinginkan walaupun hanya daripada satu sudut sahaja dan bukan kesemuanya. Oleh itu sesiapa yang membenci sesuatu yang sememangnya tidak digemari dan tidak dikehendaki, ia tidak dinamakan zuhud. Seperti seorang yang meninggalkan (perbuatan memakan) tanah, dia tidak digelar orang yang zuhud.

Kebiasaannya zuhud dilabelkan kepada orang yang meninggalkan kepentingan dunia. Siapa yang meninggalkan semua perkara kecuali Allah Taala, dia adalah orang zuhud yang sempurna. Siapa yang zuhud terhadap dunia kerana keinginannya kepada syurga, dia juga adalah orang yang zuhud, tetapi tarafnya lebih rendah daripada tahap yang pertama tadi.

Zuhud bukanlah bererti meninggalkan harta dan bukan juga bererti membelanjakannya atas dasar kemurahan hati dan menampakkan kekuatan dirinya (melawan nafsu) serta mengharapkan kecenderungan hati orang lain kepadanya. Zuhud yang sebenar ialah meninggalkan kepentingan dunia kerana mengetahui betapa hinanya dunia berbanding nilai akhirat yang sangat berharga.

Sesiapa yang mengetahui bahawa dunia adalah seperti salji akan cair dan akhirat seperti mutiara yang akan tetap bersinar, yang sudah pasti keinginannya untuk menjual dunia kerana ingin mendapatkan akhirat akan bertambah kuat. Firman Allah Taala:

قل منع الدنيا قليل والآخرة خير لمن أنقى
Katakanlah (wahai Muhammad): Harta benda yang menjadi kesenangan di dunia ini adalah sedikit sahaja, (dan akhirnya akan lenyap), dan (balasan) hari akhirat itu lebih baik lagi bagi orang yang bertaqwa (kerana ia lebih mewah dan kekal selama-lamanya),

(An-Nisa': 77)


__________________________________________________
.
__________________________________________________

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

No comments:

Post a Comment