Friday, 7 January 2022

SIRI 229 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 29: Fakir dan Zuhud

Tajuk Mudarasah: Mulakan Hari Baru Dengan Zuhud

Halaman Rujukan Kitab : 570

Nota Mudarasah:

Nabi s.a.w. pernah bersabda:


Sesiapa yang berpagi-pagi sedang keinginannya hanya pada dunia, pasti Allah akan selerakkan segala urusannya, menjadikan kehidupannya kelam kabut serta menjadikan kefakiran berada di hadapannya. Dia tidak akan memper olehi suatupun dari dunia melainkan apa yang telah dicatatkan untuknya. Manakala sesiapa yang berpagi-pagi sedang keinginannya hanyalah untuk mendapat akhirat, Allah akan memperteguhkan keinginannya itu, menjaga urusan hidupnya dan menjadikan kekayaan di hatinya. Dan dunia akan datang kepadanya dengan tunduk dan terpaksa.¹

Al-Hassan berkata: Manusia akan dihimpunkan dalam keadaan bertelanjang kecuali mereka yang zuhud. Dia berkata lagi: Sesungguhnya terdapat kaum terdahulu yang memuliakan dunia tetapi kesudahan mereka telah disalib oleh dunia di atas kayu (akhirnya mereka juga mati meninggalkan apa yang telah dimuliakan itu). Hendaklah kamu menghina dunia kerana dengan itu sahaja dunia akan lebih selamat kepada kamu apabila kamu semua menghinanya,

Fudhail berkata: Semua kejahatan dihimpunkan dalam satu tempat dan kuncinya ialah cintakan dunia. Begitu juga semua kebaikan dihimpunkan dalam satu tempat dan kuncinya ialah zuhud di dunia.

Sebahagian salaf berkata: Zuhud di dunia akan menenangkan hati dan badan sedangkan rasa gemar kepada dunia pula akan memperbanyakkan masalah dan dukacita.

__________________________________________________
1 Riwayat Ibnu Majah (4105), Ahmad (5/183), Ibnu Hibban (72-Maurid) daripada Zaid bin Tsabit dengan sanad yang sahih. Hadis yang sama juga diriwayatkan daripada Anas r.a..
__________________________________________________

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

No comments:

Post a Comment