Saturday, 8 January 2022

SIRI 230 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 29: Fakir dan Zuhud

Tajuk Mudarasah: Tingkatan Zuhud

Halaman Rujukan Kitab : 571

Nota Mudarasah:

Tingkatan Zuhud dan Bahagiannya

Di kalangan manusia ada yang zuhud terhadap perkara duniawi dalam keadaan nalurinya masih mengingininya. Walau bagaimanapun dia tetap bermujahadah melawan nafsu keinginannya itu. Orang ini dinamakan 'Belajar Berzuhud' (mutazahhid), iaitu permulaan zuhud.

Tingkat zuhud kedua ialah orang yang zuhud secara sukarela tanpa membebankan dirinya untuk berbuat demikian. Tetapi kekadang dia menonjolkan perwatakan zuhudnya itu agar orang melihatnya. Dia hampir merasa ujub dengan dirinya sendiri. Dia beranggapan bahawa dia telah meninggalkan sesuatu yang bermakna untuk mencapai sesuatu yang lebih bermakna dari itu seumpama dia meninggalkan satu dirham untuk mengambil dua dirham. Ini adalah peringkat zuhud yang kurang.

Tingkat ketiga ialah tingkat zuhud tertinggi. Iaitu dia berzuhud secara sukarela dan berzuhud dalam zuhudnya. Dengan maksud dia berzuhud dalam keadaan tidak menganggap bahawa dia telah meninggalkan sesuatu kerana dia tahu bahawa dunia tiada nilai sedikitpun. Keadaannya seumpama seorang yang telah meninggalkan perca kain kerana mahu mendapatkan batu permata. Dia tidak melihat perbuatannya itu sebagai satu pertukaran. Sesungguhnya dunia jika dinisbahkan dengan nikmat akhirat perbandingannya adalah lebih baik daripada perca kain jika dinisbahkan dengan permata¹. Ini adalah kesempurnaan sejati di dalam zuhud.

__________________________________________________
1 Kalaulah meninggalkan perca kain dengan mengambil permata itu tidak dianggap sebagai satu pertukaran maka lebih-lebih lagilah antara dunia dengan akhirat. Kerana dunia tidak mempunyai sedikitpun jika dinisbahkan kepada akhirat-pent.
__________________________________________________

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

No comments:

Post a Comment