Sunday, 9 January 2022

SIRI 231 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 29: Fakir dan Zuhud

Tajuk Mudarasah: -

Halaman Rujukan Kitab : 572

Nota Mudarasah:

Bandingan orang yang meninggalkan dunia adalah seperti seorang yang ingin mengadap raja tetapi terhalang oleh anjing yang mengawal pintu istana raja tersebut. Dia pun melontar secebis roti yang menyebabkan anjing tersebut menjadi sibuk dan asyik dengannya. Lalu dia masuk ke dalam dan menghampiri raja. Adakah kamu fikir bahawa orang itu akan menganggap dirinya telah berbuat baik kepada raja kerana telah mencampakkan secebis roti kepada anjing baginda dan seterusnya dapat mengadap raja sebagai balasan terhadap tindakannya itu?.²

Syaitan diibaratkan anjing yang menghalang di pintu untuk menghampirkan diri kepada Allah s.w.t.. Ia menghalang manusia dari memasukinya sedangkan pintu sudah terbuka dan tabir sudah terangkat. Dunia pula diibaratkan seperti secebis roti. Sesiapa yang meninggalkan cebisan roti itu kerana inginkan kemuliaan mengadap raja, maka adakah wajar dia masih peduli dengan cebisan roti yang telah dicampakkannya itu? Tambahan pula, perbandingan antara dunia iaitu apa yang dinikmati oleh manusia sekalipun dia dapat hidup selama seribu tahun dengan nikmat akhirat adalah lebih rendah kedudukannya (tidak sama) dari bandingan secebis roti yang dibandingkan dengan mengadap raja dunia. Ini kerana, sesuatu yang fana (binasa) tidak layak dibandingkan dengan yang kekal abadi. Bagaimana mungkin ia boleh dibandingkan, sedangkan umur manusia amat pendek dan kelazatan dunia pula seringkali diselangi kekeruhan.

Zuhud terhadap sesuatu yang diingini terbahagi kepada tiga kedudukan:

i. Zuhud untuk menyelamatkan diri dari azab dan hisab serta kedahsyatan yang akan ditempuhi oleh setiap manusia di akhirat. Zuhud sebegini adalah zuhud orang yang takut kepada Allah.

ii. Zuhud kerana ingin mendapatkan pahala dan nikmat yang dijanjikan dengannya. Ini adalah zuhud orang yang berharap kerana mereka meninggalkan nikmat (dunia) semata-mata untuk mendapat nikmat akhirat.

iii. Peringkat yang paling tinggi iaitu zuhud bukan untuk mengelak dari penderitaan (azab seperti tahap pertama) atau untuk mendapatkan keseronokan (nikmat seperti tahap kedua) tetapi semata-mata ingin bertemu dengan Allah Taala. Ini adalah zuhud orang yang benar-benar ikhlas (muhsinin) dan mengenali Allah Taala ('arifin). Sesungguhnya nikmat dan kelazatan melihat wajah Allah Taala berbanding dengan kelazatan syurgawi adalah seperti keseronokan dapat memiliki dan mengusai seluruh dunia berbanding dengan keseronokan dapat menangkap seekor burung dan berhibur dengannya.

__________________________________________________
2 Maksudnya adakah orang yang zuhud itu merasakan bahawa dirinya telah melakukan kebaikan kepada Allah disebabkan dia telah meninggalkan dunia? Sedangkan seorang yang tinggi martabat zuhudnya tidak memandang pun kepada tindakannya meninggalkan dunia tersebut. Kerana dunia tidak mempunyai apa-apa nilai di sisinya. Dengan itu persoalan berkaitan dunia sedikit pun tidak timbul dalam dirinya. Oleh kerana itulah maka dia berzuhud dalam keadaan dia tidak menganggap bahawa dia telah meninggalkan dunia. Ini kerana zuhudnya itu adalah semata-mata pengabdian dirinya kepada Allah. Inilah maksud berzuhud dalam zuhud dan ia merupakan tingkatan zuhud yang tertinggi-pent..
__________________________________________________

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

No comments:

Post a Comment