Thursday, 13 January 2022

SIRI 235 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 29: Fakir dan Zuhud

Tajuk Mudarasah: Bagaimana Zuhud Terhadap Perkahwinan

Halaman Rujukan Kitab : 577

Nota Mudarasah:

Perkahwinan

Perkahwinan sama ada pada asal perkahwinan mahupun berpoligami tidak menjejaskan makna zuhud.

Sahl bin Abdullah berkata: Dijadikan Rasulullah s.a.w. menyintai perempuan (para isteri baginda).

Ali k.w. merupakan sahabat yang paling zuhud namun beliau mempunyai empat orang isteri dan lebih sepuluh orang hamba wanita.

Abu Sulaiman ad-Darani berkata: Setiap perkara yang mengganggu kamu daripada mengingati Allah sama ada keluarga, harta benda atau anak pinak adalah satu kecelakaan.

Kesimpulannya: Sesiapa yang dikuasai oleh nafsunya dan bimbang berlakunya zina, dia wajib berkahwin. Manakala orang yang dapat mengawal dirinya, adakah berkahwin lebih baik baginya ataupun mengabdikan diri kepada Allah sepenuh masa?. Ulamak berbeza pendapat kerana keadaan manusia berbeza antara satu sama lain. Ada yang berkahwin untuk mendapatkan zuriat dan menyara hidup kelurganya dengan rezeki yang halal. Ini tidak tercela dan tidak mengganggu hatinya bahkan perkahwinan itu menjadikannya lebih bersemangat dan tekun dalam beribadat. Dia dapat menjaga pandangannya dan menenangkan fikirannya. Ini semua adalah kemuncak kelebihan yang dimiliki oleh seseorang yang berkahwin. Itulah jalan yang telah dilalui oleh Rasulullah s.a.w. dan Ali k.w. serta orang yang mengikuti jalan kedua-duanya. Dalam keadaan ini, dia tidak perlu menghiraukan pendapat yang menganggap bahawa antara jalan zuhud ialah dengan meninggalkan keseronokan berkahwin kerana perkahwinan juga memenuhi konsep zuhud secara tersirat dan ia selari dengan tujuan asal perkahwinan itu.

Sebahagian golongan salaf lebih memilih untuk mengahwini wanita biasa daripada wanita yang cantik. Ini kerana wanita sebegini dianggap lebih cenderung kepada agama tambahan pula belanjanya sedikit dan senang menguruskannya. Berlainan dengan wanita yang ada rupa di mana ia akan menjadikan hati bercabang cabang dan akan menyibukkannya daripada beribadat serta memerlukan belanja yang lebih banyak. Namun begitu perkara ini mungkin juga tidak akan berlaku.

Malik bin Dinar berkata: Terdapat di kalangan manusia yang sengaja berkahwin dengan sutera hidup (perempuan cantik). Kemudian perempuan itu berkata: Aku ingin memakai pakaian sutera berbulu (yang cantik-cantik). Lalu perempuan itu menjadikan suaminya hilang pegangan agamanya.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment