Tuesday, 18 January 2022

SIRI 240 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 30: Tauhid Dan Tawakkal

Tajuk Mudarasah: Keadaan, Amalan Dan Batas-Batas Tawakkal

Halaman Rujukan Kitab : 584

Nota Mudarasah:

Keadaan, Amalan dan Batas-batas Tawakkal

Perkataan 'tawakkal' berasal dari perkataan 'al-wakalah' (mewakilkan atau perwakilan). Disebut wakala fulaanun amrahu ila fulaan yang bererti si fulan telah mewakilkan urusannya kepada si fulan. Ia membawa erti seseorang itu telah menyerahkan segala urusannya kepada seseorang yang lain atau dia bergantung kepada orang itu dalam urusannya.

Tawakkal merupakan suatu ungkapan yang membawa maksud pergantungan hati kepada orang yang diwakilkan. Manusia tidak akan menyerahkan urusannya kepada orang lain melainkan apabila dia yakin orang itu mempunyai beberapa perwatakan iaitu baik hati, ada keupayaan dan panduan.

Apabila kamu memahami perkara ini, maka bandingkanlah ia dengan tawakkal kepada Allah Taala. Apabila kamu beriktiqad dan meyakini bahawa tiada yang dapat melakukan sesuatu perkara selain dari Allah Taala dan Dia lah Allah Yang Maha Sempurna ilmu, kekuasaan dan rahmat-Nya serta tiada lagi kekuasaan di sebalik kekuasaan-Nya sebagaimana tiada lagi ilmu dan rahmat di sebalik ilmu dan rahmat-Nya, ketika itu tidak diragui lagi bahawa hati kamu pasti akan bertawakkal kepada-Nya sahaja tanpa berpaling sedikitpun kepada yang lain. Sekiranya hati kamu tidak dapat merasai sedemikian, ia mungkin berpunca dari dua perkara iaitu:

Keyakinan yang lemah terhadap salah satu daripada apa yang disebutkan di atas.

ii. Hati yang lemah kerana dikuasai oleh sifat pengecut serta terganggu dan gelisah disebabkan sangkaan-sangkaan negatif yang menguasai dirinya.

Kadang-kadang hati terganggu kerana masih tunduk kepada sangkaan-sangkaan negatif walaupun ia tidak menjejaskan keyakinannya. Seseorang yang ingin minum madu lalu dibayangkan bahawa apa yang ada didepannya itu adalah najis, ketika itu seleranya akan hilang dan dia tidak mampu untuk meminumnya.

Demikianlah juga apabila seorang yang waras disuruh bermalam dengan mayat sama ada di kubur, di katil ataupun di rumahnya. Dia tentu akan menolak secara tabi'ienya sekalipun dia yakin bahawa mayat tadi sudah terbujur kaku. Namun, nalurinya itu tidak pula menolak untuk bersama dengan benda-benda kaku yang lain. Itulah sifat penakut yang ada di dalam hati dan ia adalah satu jenis kelemahan yang kebiasaannya tidak mampu dielakkan oleh seseorang. Kadang-kadang ketakutan itu menjadi kritikal sehinggakan boleh menjadi satu penyakit sehingga dia takut untuk bermalam seorang diri di rumah walaupun pintu sudah tertutup rapat dan berkunci.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment