Wednesday, 19 January 2022

SIRI 241 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 30: Tauhid Dan Tawakkal

Tajuk Mudarasah: 3 Peringkat Keadaan Tawakkal

Halaman Rujukan Kitab : 585

Nota Mudarasah:

Justeru, tawakkal tidak akan sempurna kecuali dengan hati yang kental dan keyakinan yang jitu. Setelah kamu mengetahui pengertian tawakkal dan keadaan sebenar yang dikatakan bertawakkal, kamu juga hendaklah mengetahui bahawa keadaan tawakkal dari sudut kuat atau lemahnya terbahagi kepada tiga peringkat.

Peringkat pertama:

Apa yang telah disebutkan tadi iaitu kepercayaan yang penuh kepada pemeliharaan dan pertolongan Allah s.w.t. seperti kepercayaan seseorang kepada wakil urusannya.

Peringkat kedua:

Tahap yang lebih kuat iaitu keadaannya dengan Allah sama seperti keadaan seorang anak bersama ibunya. Anak tidak mengenali sesiapa atau mengadu kepada sesiapapun selain ibunya. Si anak hanya bergantung harap kepada ibunya. Sekiranya dia ditimpa sesuatu perkara, cetusan pertama yang terlintas dalam hatinya dan kalimah pertama yang keluar malalui lidahnya ialah: Wahai ibu!. Siapa yang mengadu kepada Allah, berlindung dan bergantung harap hanya kepada Allah, dia akan mengasihi-Nya sepertimana anak mengasihi ibunya. Dengan itu dia menjadi orang yang benar-benar bertawakkal.

Perbezaan antara kedua-dua peringkat ini ialah orang yang kedua ini telah fana dari tawakkalnya (dia sendiri tidak sedar akan tawakkalnya kepada Allah) kerana dia tidak melihat kepada yang lain selain Allah Taala. Tidak ada ruang di hatinya kepada yang lain dari-Nya.

Manakala orang yang pertama bertawakkal kerana ada kepentingan atas tanggungjawab yang diberikan dan dengan usaha (faktor luar dan bukan secara tabi'ie) di mana ia tidak sampai ke peringkat fana. Ini semua adalah gangguan yang akan menjejaskan perhatian dan tawakkalnya yang sepatutnya difokuskan hanya kepada Allah.

Peringkat ketiga:

Lebih tinggi dari kedua-dua peringkat sebelumnya iaitu kedudukannya di sisi Allah Taala seumpama mayat yang berada di hadapan tukang mandi jenazah. Keadaannya tidak berbeza dengan keadaan orang mati. Cuma di sini dia tidaklah menganggap dirinya telah mati. Tetapi keadaannya berbeza dengan keadaan anak dengan ibunya kerana si anak sentiasa mengadu kepada ibunya, menjerit dan berpaut pada kainnya.

Ini adalah beberapa keadaan yang ada pada makhluk namun ianya sukar untuk dilakukan secara berterusan terutama peringkat yang ketiga.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment