Thursday, 27 January 2022

SIRI 249 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 31: Kecintaan, Kerinduan, Kemesraan Dan Keredhaan

Tajuk Mudarasah: Bagaimana Memahami Kecintaan Kepada Allah

Halaman Rujukan Kitab : 597

Nota Mudarasah:

Berkenaan sifat ilmu, maka ketahuilah bahawa segala ilmu yang terdahulu dan yang akan datang semuanya adalah daripada Allah. Ilmu-Nya itu meliputi segala-galanya. Segala perkara walaupun seberat zarrah tidak terlindung dan terlepas dari pengetahuan Allah sama ada yang berada di langit mahupun di bumi. Allah Taala telah berfirman kepada seluruh makhluk:



Sekiranya seluruh penduduk langit dan bumi berkumpul supaya mereka dapat mengetahui secara menyeluruh ilmu Allah dan hikmat-Nya pada kejadian semut atau nyamuk dengan detil, nescaya mereka tidak akan mampu mengetahui walaupun satu perseratus dari hakikat sebenarnya. Mereka tidak akan dapat mengetahui sesuatu pun dari ilmu-Nya kecuali dengan apa yang dikehendaki oleh-Nya. Di mana dengan sebab ilmu yang diberikan oleh Allah Taala itulah (dengan kadar yang sedikit itu), mereka semua dapat mengetahui. Kelebihan ilmu Allah s.w.t. berbanding dengan ilmu seluruh makhluk-Nya tidak dapat dibayangkan kerana ilmu Allah s.w.t. tiada penghujungnya.

Berkenaan sifat kekuasaan (kudrat) pula, ia juga merupakan salah satu sifat kesempurnaan Allah Taala. Apabila kamu membandingkan seluruh kekuasaan makhluk dengan kekuasaan Allah Taala, kamu akan dapati orang yang paling kuat, paling luas kerajaannya, paling berkuasa, paling hebat menguruskan diri dan juga orang lain, kemuncak kekuasaannya itu tidak lebih daripada kemampuannya menguasai sebahagian sifat dirinya sendiri sahaja dan juga beberapa masalah yang berhubung dengan manusia. Walaupun dia mempunyai kekuasaan tersebut, dia sendiri tidak mampu mengawal dan menentukan kemudaratan atau kemanfaatan untuk dirinya.

Dia juga tidak mampu menentukan kematian, kehidupan dan kebangkitannya. Bahkan tidak mampu untuk menjaga matanya daripada buta, lidahnya daripada bisu, telinganya daripada pekak, badannya daripada penyakit dan juga tidak mampu menguasai satu zarah pun daripada zarah-zarah makhluk. Segala kekuasaan ke atas dirinya dan juga diri orang lain bukan kerana kekuatan dirinya sendiri tetapi kerana Allah yang menciptakan dia, menciptakan kudrat atau kekuatannya dan segala sebab musabab yang memungkinkan dia melakukannya. Kalaulah Allah takdirkan seekor nyamuk membunuh seorang raja atau orang yang paling kuat di dunia, pasti ia akan membinasakannya, maka manusia sebenarnya tidak memiliki sebarang kudrat atau kekauasan kecuali jika dikurniakan oleh Allah dan dengan izin-Nya.

Firman Allah Taala berkenaan seorang raja yang paling berkuasa dan agung di muka bumi yang bernama Zulkarnain:



Segala kerajaan dan pemerintahannya adalah dengan kekuatan yang diberikan oleh Allah Taala. Seluruh makhluk berada di bawah genggaman dan kekuasaan Allah Taala. Sekiranya Allah memusnahkan mereka semua, ia tidak akan mengurangkan kerajaan dan pemerintahan-Nya walaupun sebesar zarah. Jika Dia mencipta seribu kali lagi seperti mereka, ia tidak menjadi keberatan kepada-Nya untuk menciptanya. Tidak ada yang berkuasa melainkan Dia. Dialah yang memiliki segala kesempurnaan, keagungan, kemegahan, ketinggian dan penguasaan.

Sekiranya digambarkan bahawa kamu ingin mencintai orang yang berkuasa kerana kelebihan kudrat, kebesaran dan keilmuannya, maka tiada yang lebih berhak untuk kamu cintai melainkan hanyalah kepada Allah. Ini kerana sifat kesucian dan kemurniaan yang sempurna tidak boleh digambarkan melainkan hanya kepada-Nya. Dia-lah Allah yang Maha Esa, tidak ada sekutu bagi-Nya dan Dia-lah Allah Yang Tunggal, tidak ada yang setanding dengan-Nya. Dia-lah tempat pergantungan yang tiada saingan-Nya dan Dia-lah yang Maha Kaya yang tidak berhajat kepada sesiapa serta Día-lah yang Maha Berkuasa yang boleh melakukan dan menghukum apa jua yang dikehendaki-Nya. Tiada siapa yang dapat menolak hukuman-Nya atau menghalang ketentuan-Nya. Allah Maha Mengetahui dan tiada sesuatu walaupun sebesar zarrah yang terlepas daripada pengetahuan-Nya sama ada di bumi mahupun di langit.

Kesempurnaan makrifah golongan 'aarifin ialah dengan mengakui kelemahan dan ketidakmampuan mereka untuk mengenali Allah dengan sebenar-sebenar makrifat iaitu Dialah yang berhak untuk memiliki cinta yang sempurna yang tidak berbelah bahagi.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment