Wednesday, 2 February 2022

SIRI 255 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 31: Kecintaan, Kerinduan, Kemesraan Dan Keredhaan

Tajuk Mudarasah: Faktor Yang Menguatkan Kecintaan Kepada Allah Dan Perbezaan Tahap Kecintaan Di Kalangan Manusia

Halaman Rujukan Kitab : 604

Nota Mudarasah:

Di akhirat kelak, manusia yang paling bahagia dan baik kedudukannya ialah orang yang paling kuat kecintaannya kepada Allah Ta'ala. Akhirat bermakna manusia akan kembali mengadap Allah Ta'ala dan bergembira apabila bertemu dengan-Nya. Alangkah seronoknya seorang kekasih apabila dapat berjumpa dengan kekasihnya setelah begitu lama merindu. Kini dia dapat melihat wajahnya tanpa halangan atau kekaburan. Namun begitu kenikmatan ini berbeza-beza mengikut kadar kecintaan seseorang. Apabila cinta bertambah kuat, kenikmatan berjumpa kekasihnya juga akan bertambah.

Pokok kecintaan semestinya sebati dalam jiwa orang yang beriman kerana dia tidak pernah lekang dari umbi makrifah. Namun, kebanyakan manusia tidak memiliki kekuatan cinta dan penguasaan ke atasnya. Ini kerana untuk mendapatkannya seseorang itu hendaklah melakukan dua perkara berikut:

i. Memutuskan hubungan keduniaan dan membuang sifat kasih dan cinta kepada selain daripada Allah. Salah satu faktor yang melemahkan cinta kepada-Nya ialah kuatnya perasaan cintakan dunia. Sebanyak mana hati manusia cinta dan jinak dengan dunia, sebanyak itulah juga cintanya kepada Allah berkurangan. Dunia dan akhirat umpama dua orang isteri yang bermadu (yang sentiasa ingin bersaing). Cara untuk memutuskan hati dari hubungan keduniaan ialah dengan melalui jalan zuhud dan teguh bersabar. Jalan zuhud dan sabar ini perlu dipandu oleh sifat takut dan mengharap kepada Allah s.w.t. (ar-raja) serta maqam-maqam yang telah kami sebutkan dahulu seperti taubat, sabar, syukur, zuhud dan sebagainya.

ii. Mengenali Allah Taala s.w.t. (makrifatullah). Perasaan kasih sayang akan lahir dari makrifatullah. Walaupun dengan memutuskan hubungan keduniaan, makrifatullah tetap tidak boleh dicapai kecuali dengan pemikiran yang bersih, zikir yang berterusan, bersungguh-sungguh meminta dari-Nya dan sentiasa mencari dalil ke arah mengenali-Nya melalui af'al-Nya (perbuatan Nya). Sekurang-kurang af'al-Nya ialah penciptaan bumi dan segala isinya termasuk para malaikat dan seluruh alam langit.

Matahari walaupun dilihat kerdil tetapi ukurannya mencecah antara 160 hingga 170 lebih kali ganda bumi. Bandingkanlah kekerdilan dunia ini dengan matahari dan kemudiannya bandingkan kekerdilan matahari tersebut dengan seluruh ruang angkasa yang berpusat di langit keempat¹, sedangkan langit keempat adalah lebih kecil dari langit-langit yang berada di atasnya. Jika dibandingkan pula keseluruhan tujuh petala langit ini dengan besarnya al-Kursiyy, ia hanyalah seperti sebentuk cincin yang dicampakkan ke tengah padang pasir yang luas¹. Begitulah juga bandingan al-Kursiyy jika dinisbahkan dengan Arasy Allah Taala. Maha Suci Allah.
1 Dalam nota kaki cetakan as-Syamiah terdapat ulasan dua orang penyemak yang berkata: Perkhabaran ini tidak sabit sahnya datang dari Nabi s.a.w.. Ia hanya merupakan ijtihad manusia yang tertakluk kepada fakta-fakta sains yang mendalam. Keputusan dalam perkara ini adalah bergantung kepada sama ada betul ataupun salah kajian tersebut. Aku berpendapat: Inilah pendapat yang adil dan bermanfaat, sila lihat ulasan yang berikutnya.
1 Seperti yang terdapat dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Jarir r.a. dalam tafsirnya (3/7, 8) secara mursal, tetapi pada sanadnya terdapat perawi yang dipulaukan riwayatnya (matruk). Ibnu Jarir juga mempunyai riwayat lain yang juga terdapat perawi yang matruk. Sanad hadisnya terputus (munqati). Hadis ini mempunyai riwayat yang lain sebagaimana yang disebut oleh al-Albani dalam bukunya Silsilah al-Ahadith as-Sahihah (no:109). Namun kesemuanya adalah terlalu lemah. Guru kami itu telah menarik kembali dari mengsahihkan hadis ini seperti yang telah kami jelaskan dalam kitab ar-Raddu al-Ilmi (2/73).


Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment