Thursday, 3 February 2022

SIRI 256 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 31: Kecintaan, Kerinduan, Kemesraan Dan Keredhaan

Tajuk Mudarasah: Faktor Yang Menguatkan Kecintaan Kepada Allah Dan Perbezaan Tahap Kecintaan Di Kalangan Manusia

Tajuk Mudarasah: Perbezaan Antara Manusia Dalam Mencintai Allah

Halaman Rujukan Kitab : 606

Nota Mudarasah:

Kemudian lihatlah pula kepada kejadian manusia yang dicipta dari secebis tanah iaitu satu juzuk daripada bumi. Lihatlah juga ke semua haiwan dan betapa kerdilnya haiwan-haiwan ini jika dibandingkan dengan bumi. Lihatlah pula kepada nyamuk, haiwan paling kecil yang kamu tahu. Perhatikanlah dengan akal yang sedar, bagaimana Allah Taala menciptakannya (mempunyai aggota-anggota yang lengkap) seperti gajah haiwan darat yang paling besar. Bahkan ditambah lagi dengan dua helai sayap. Perhatikan bagaimana Allah Taala memberikannya pendengaran, penglihatan dan menjadikan anggota-anggota pemprosesan makanan dalam perutnya. Allah telah menyusun atur seluruh keadaan nyamuk tersebut sama ada berbentuk keupayaan menarik, menolak atau menghadam. Lihatlah juga bagaimana Allah menjadikannya mampu terbang jika perlu. Allah juga menjadikan untuknya belalai yang tajam untuk menghisap darah.

Perhatikan pula lebah yang mencari makanan daripada bunga bungaan yang bersih dan menjauhi yang kotor. Ia begitu taat kepada ketuanya sehingga sanggup membunuh setiap pendatang yang memakan benda-benda yang kotor. Dari sudut sarangnya, lihatlah bagaimana ia memilih struktur enam persegi untuk dijadikan sarang. Ia tidak membina bilik-bilik empat persegi, bulatan atau lima persegi. Ini kerana bentuk enam persegi mempunyai keistimewaannya berbanding yang lain. Bentuk yang paling luas menampung ialah bentuk bulatan dan bentuk yang hampir dengannya (seperti enam atau lapan persegi dan seterusnya). Bentuk empat persegi akan mewujudkan sudut-sudut yang tidak dapat dimanfaatkan. Manakala bentuk bulat pula apabila dicantumkan akan mewujudkan ruang-ruang kosong (kerana sempadannya tidak akan bercantum pada semua tempat) di luar sarangnya.

Bentuk bulat tidak akan dapat dicantumkan kesemua sem padannya dengan bentuk bulat yang lain. Oleh itu tiada bentuk lain yang boleh menampung ruang yang luas, bercantum seluruh sempadannya dan tidak meninggalkan ruang-ruang yang kosong kecuali bentuk enam persegi. Lihatlah bagaimana Allah memberikan ilham kepada binatang sekecil dan selemah itu. Oleh itu ambillah iktibar melalui kilauan yang sedikit ini hasil pemerhatian daripada haiwan-haiwan yang dianggap remeh dan kerdil ini. Dengan melihat ke semua ini dan perkara-perkara yang seumpamanya, pasti kamu akan bertambah mengenali Allah dan seterusnya akan bertambahlah kecintaanmu kepada-Nya.

Perbezaan antara Manusia dalam Mencintai Allah

Ketahuilah bahawa manusia sebenarnya berkongsi dalam asas kecintaan ini tetapi kecintaan mereka berbeza kerana perbezaan mereka dalam mengenali Allah. Kebanyakkan manusia hanya mengenali sifat-sifat dan nama-nama Allah yang sampai kepada pendengaran mereka.

Orang yang mengetahui dengan mata hati (al-Basirah) sentiasa meneliti secara terperinci tentang keagungan ciptaan Allah Taala sehingga mereka mampu melihat sesuatu yang mengkagumkan akalnya. Rentetan dari itu keagungan Allah memuncak di hatinya dan secara langsung akan menambahkan kecintaannya kepada Nya. Makrifat ini iaitu mengenai keajaiban ciptaan Allah Taala ini akan membawanya kepada satu alam yang luas umpama lautan yang tidak bertepi.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment