Thursday, 24 February 2022

SIRI 277 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 31: Kecintaan, Kerinduan, Kemesraan Dan Keredhaan

Tajuk Mudarasah: Doa Tidak Berlawanan dengan Konsep Reda

Halaman Rujukan Kitab : 629

Nota Mudarasah:

Lebih jelas lagi jika kita buat satu perbandingan. Katakanlah bahawa seorang yang berada di sisi kekasihnya berkata: Aku Lebih jelas lagi jika kita buat satu perbandingan. Katakan ingin menduga siapakah yang benar-benar menyayangi aku dan siapa yang membenciku. Aku akan buat satu piawaian yang boleh menjadikan mereka berterus-terang. Caranya ialah aku akan pergi kepada si fulan dan memukulnya dengan kuat sehingga dia terpaksa mencemuhku. Jika dia mencemuhku, aku akan membencinya dan menjadikannya sebagai musuh. Sesiapa yang mengasihaninya bermakna dia juga adalah musuhku. Sesiapa yang membencinya (orang yang aku pukul itu) bermakna dia mengasihiku dan dia adalah kawanku. Kemudian diapun melakukannya dan berlakulah cemuhan kepadanya yang menjadi bibit kepada kebencian yang seterusnya membawa kepada permusuhan.

Orang yang benar-benar mengasihinya akan berkata: Aku suka dan aku reda dengan perancangan kamu memukul dan menyakitinya. Itu adalah pendapat, perancangan dan tindakan kamu. Manakala cemuhannya kepadamu adalah perbuatan tidak beretika dan bererti dia memusuhi kamu. Aku membencinya atas dasar perbuatannya mencemuhmu, kerana dia sepatutnya bersabar dan tidak mencemuh.

Begitulah perbandingan kekuasaan Allah dalam meletakkan dorongan syahwat dan maksiat kepada seseorang hamba, di samping Dia membenci jika hamba melakukan maksiat.

Menjadi kewajiban kepada setiap hamba yang mencintai Allah untuk membenci dan memusuhi siapa sahaja yang dibenci dan dimusuhi oleh Allah. Begitu juga terhadap orang yang dijauhkan dirinya dari Allah. Sekalipun Dialah sebenarnya yang menyebabkan orang itu terpaksa melakukan pertentangan dan menyanggahi perintah-Nya dengan kuat-kuasa dan kudrat-Nya. Orang itu tetap dianggap terhalau dan jauh dari rahmat Allah. Orang yang dijauhkan dari jalan-jalan mendekatkan diri kepada Allah, hendaklah dibenci oleh semua orang yang mencintai Allah. Ini bagi membuktikan persetujuan terhadap kekasih mereka dengan menunjukkan kemarahan terhadap sesiapa yang Kekasih (Allah) yang telah mengzahirkan kemurkaan-Nya dengan menjauhkan orang itu darinya (melalui perbuatan maksiat).

Dengan itu, maka benar dan tepatlah segala yang disebut dalam hadis berkenaan benci dan cinta kerana Allah, bersikap kasar kepada orang kafir serta bersungguh-sungguh membenci mereka disamping reda dengan takdir Allah s.w.t. di atas asas bahawa itu semua adalah takdir-Nya. Ia berasaskan kepada rahsia takdir yang tidak dizahirkan iaitu kebaikan dan kejahatan semuanya termasuk dalam kehendak dan kemahuan Allah. Walau bagaimanapun kejahatan yang dikehendaki-Nya itu adalah dibenci manakala kebaikan yang dikehendaki-Nya itu pula adalah diredai-Nya. Yang lebih utama ialah kita mendiamkan diri dan beradab dengan adab adab syarak di samping akur dengan apa yang menjadi asas kepada konsep perhambaan makhluk kepada Allah iaitu reda dengan takdir Allah serta membenci perkara-perkara maksiat.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment