Friday, 25 February 2022

SIRI 278 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 31: Kecintaan, Kerinduan, Kemesraan Dan Keredhaan

Tajuk Mudarasah: Doa Tidak Berlawanan dengan Konsep Reda

Halaman Rujukan Kitab : 631

Nota Mudarasah:

Antara kisah berkenaan sifat mencintai Allah ialah:

Diriwayatkan bahawa Allah Taala telah mewahyukan kepada Daud a.s.: Kalaulah orang yang berpaling dari Aku itu mengetahui bagaimana aku menunggu kepulangan mereka, sifat lemah lembut Aku terhadap mereka dan rindu-Ku agar mereka meninggalkan perkara-perkara maksiat, nescaya mereka akan mati kerana rindu kepada-Ku dan urat-urat mereka putus kerana terlampau mencintai Ku.

Wahai Daud, kalau inilah kehendak-Ku kepada orang yang berpaling dari-Ku, bagaimana pula kehendak-Ku kepada orang yang sememangnya menghadap dan mahu kembali kepada-Ku? Wahai Daud, seseorang hamba akan menjadi lebih berhajat kepada-Ku apabila dia tidak mempedulikan Aku dan dia akan menjadi lebih mulia di sisi-Ku apabila dia kembali kepada-Ku.

Seorang perempuan yang beribadat berkata: Demi Allah, aku telah bosan dengan hidup. Jika aku dapati mati itu ada dijual, tentu aku akan membelinya kerana aku benar-benar merindui Allah dan ingin bertemu dengan-Nya. Dikatakan kepadanya: Adakah kamu terlalu yakin dengan amalan kamu? Dia menjawab: Tidak, tetapi demi cintaku dan sangka baikku kepada-Nya. Adakah Dia akan menyiksaku sedangkan aku begitu mencintai-Nya?.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment