Tuesday, 1 March 2022

SIRI 282 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 32: Niat, Ikhlas, Benar Dan Tafakkur

Tajuk Mudarasah: Hakikat Niat, Kelebihan dan Segala Yang Berkaitan Dengannya

Halaman Rujukan Kitab : 636

Nota Mudarasah:

Amalan terbahagi kepada tiga bahagian:

Pertama: Maksiat.

Ia tidak akan berubah dengan niat. Contohnya orang yang membina masjid menggunakan harta haram dengan niat melaku kan kebajikan. Niat baik orang itu tidak akan memberikan kesan. Bahkan berniat baik tetapi disempurnakan dengan cara kejahatan atau maksiat merupakan satu kejahatan yang baru. Sesuatu perkara dianggap kebaikan apabila ia diakui oleh syarak. Oleh itu, bagai mana kejahatan boleh menjadi suatu kebaikan? Tidak sama sekali.

Ketahuilah bahawa sesiapa di kalangan pemimpin atau pemerintah yang melakukan kebajikan untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan cara membina masjid-masjid dan sekolah sekolah menggunakan sumber harta yang haram adalah sama seperti ulamak jahat yang melakukan kebajikan dengan cara mengajar ilmu kepada orang bodoh dan penjahat yang sentiasa melakukan kejahatan. Apabila orang seperti itu mendapat ilmu, dia akan menjadi penyamun di jalan Allah kerana tamakkan dunia dan mengikut hawa nafsu. Akibat buruk semua itu akan kembali ke atas kepala gurunya kerana mengajarnya sedangkan dia mengetahui niat dan tujuan mereka itu adalah tidak baik dan rosak.

Contoh yang sama dalam hal ini ialah apabila si penglipurlara mempelajari cerita-cerita. Niat sebahagian besar mereka telah dimaklumi iaitu mendapat habuan dunia serta mengaut harta dengan apa cara sekalipun. Oleh itu mengajar mereka bererti membantu mereka melakukan kerosakan.

Kamu telah mengetahui bahawa niat boleh mengubah sesuatu ketaatan menjadi maksiat, tetapi tidak sebaliknya iaitu ia tidak boleh mengubah maksiat menjadi ibadat. Bahkan kalau ditambah dengar niat buruk di samping maksiat tersebut dosanya semakin bergandas dan akan memberikan bencana yang lebih besar kepadanya.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment