Thursday, 3 March 2022

SIRI 284 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 32: Niat, Ikhlas, Benar Dan Tafakkur

Tajuk Mudarasah: Hakikat Niat, Kelebihan dan Segala Yang Berkaitan Dengannya

Sub Tajuk: Pembahagian Amalan

Halaman Rujukan Kitab : 637

Nota Mudarasah:

Ketiga: Perkara harus.

Semua perkara yang harus dilakukan mengandungi satu atau beberapa niat yang menjadikannya sebagai satu ibadat dan seterusnya membolehkannya mencapai kedudukan yang tinggi. Alangkah ruginya orang yang lalai untuk berniat (dalam perkara harus agar menjadi ibadat), lalu dia melakukan perkara-perkara harus itu sebagaimana dilakukan oleh binatang-binatang yang tidak berakal (sia-sia tanpa niat).

Seseorang hamba tidak seharusnya memandang mudah dan remeh terhadap lintasan-lintasan hati dan detik-detik waktu kerana ia akan dipersoalkan pada hari kiamat; Kenapa dia melakukannya?, dan apakah niat atau tujuan dia melakukannya?. Contoh berniat dalam perkara harus yang menjadi ibadat ialah memakai bauan yang harum. Dia memakainya dengan niat mengikut sunnah Rasulullah s.a.w. dan memuliakan masjid serta menghapuskan bau busuk yang boleh menyakitkan hati orang lain.

Imam Syafie r.hm. pernah berkata: Siapa yang elok baunya, maka bertambahlah akalnya. Antara perkara yang harus juga ialah melatih minda agar kebijaksanaan dan kecerdasannya bertambah, seterusnya memudahkan dia memahami perkara-perkara penting dalam agama.

Sesetengah ulamak salaf berkata: Aku suka setiap perkara yang dibuat mempunyai niatnya sehingga ketika makan, minum, tidur dan juga masuk ke bilik air. Semuanya itu boleh diniatkan untuk menghampirkan diri kepada Allah Taala kerana setiap sebab yang menjadikan badan sihat dan hati yang tenang juga termasuk dalam perkara-perkara penting agama. Siapa yang makan dengan niat untuk menguatkan prestasi ibadatnya, kahwin untuk memelihara agamanya dan menenangkan hati keluarganya serta mendapat zuriat yang menyembah Allah Taala selepasnya, dia akan diberikan pahala untuk semua niatnya itu.

Jangan kamu memandang ringan terhadap setiap pergerakan dan perkataan kamu. Hitunglah diri kamu sebelum kamu dihitung dan perbetulkan niat sebelum kamu membuat segala perkara yang ingin kamu lakukan. Begitu juga kamu hendaklah melihat niat kamu dalam meninggalkan sesuatu perkara.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment