Wednesday, 9 March 2022

SIRI 290 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 32: Niat, Ikhlas, Benar Dan Tafakkur

Tajuk Mudarasah: Hakikat Keikhlasan

Halaman Rujukan Kitab : 644

Nota Mudarasah:

Manusia jarang dapat melepaskan diri dari perkara-perkara ini dalam perbuatan atau amal ibadat mereka. Oleh kerana itu ada ulamak berkata: Sesiapa yang beramal semata-mata kerana Allah, walaupun hanya untuk satu ketika semasa hidupnya dia akan selamat. Ini kerana ikhlas itu amat kurang dimiliki oleh manusia dan terlalu sukar untuk membersihkan hati daripada perkara-perkara yang mencemarkannya. Kerana amalan yang benar-benar tulus ikhlas ialah amalan yang hanya didorong oleh keinginan mendekatkan diri kepada Allah Taala. Sahal pernah ditanya: Apakah perkara yang amat berat kepada nafsu? Beliau berkata: Ikhlas kerana ia tidak mempunyai apa-apa kepentingan atau habuan untuknya.

Hendaklah diketahui bahawa kotoran-kotoran yang mencacatkan ikhlas adalah berbeza-beza. Sebahagiannya jelas dan sebahagian yang lain tersembunyi. Kami telah sebutkan sebelum ini peringkat peringkat riya' dalam babnya. Ada di antara penyakit riya' itu lebih tersembunyi dari suara gerak langkah sang semut maka carilah tentang perkara ini di sana (bab riya').

Kesimpulannya, selagi seseorang yang beramal membeza bezakan amalan jika in disaksikan oleh manusia dan binatang, dia masih tidak termasuk dalam konteks keikhlasan yang sebenarnya. Orang yang terselamat dari gangguan syaitan hanyalah orang yang mendalam dan kritis pemerhatiannya serta bahagia dengan perlindungan dan taufik Allah Taala.

Dikatakan bahawa dua rakaat sembahyang seorang alim adalah lebih baik dari orang jahil yang bersembahyang tujuh puluh rakaat. Apa yang dimaksudkan di sini ialah orang alim yang sangat berhati hati dan berwaspada dari penyakit-penyakit yang merosakkan amalannya walau sekecil mana sekalipun penyakit tersebut. Dengan itu dia berjaya menghindarinya dalam setiap amal ibadatnya. Orang jahil hanya melihat sesuatu ibadat dari sudut luaran sahaja. Satu qirat⁷⁰⁸ emas yang diterima dan diakui oleh pakar penilai emas adalah lebih baik dari satu dinar yang diakui oleh orang bodoh yang mudah tertipu.
708 Satu qirat bersamaan 1/24 dinar-pent.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment