Wednesday, 23 March 2022

SIRI 304 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.50 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 32: Niat, Ikhlas, Benar Dan Tafakkur

Tajuk Mudarasah: Muhasabah (Menghitung Diri) dan Muraqabah (Berwaspada dan Merasakan Diri Sentiasa Diawasi oleh Allah)

Sub Tajuk: Prinsip Keenam: Al-Mu'atabah (Mencela Dan Menghina Diri Sendiri)

Halaman Rujukan Kitab : 664

Nota Mudarasah:

Prinsip Keenam: Al-Mu'atabah (Mencela Dan Menghina Diri Sendiri)

Abu Bakar as-Siddiq r.a. berkata: Sesiapa yang memarahi dirinya sendiri kerana Allah, Allah akan menyelamatkannya dari kemurkaan-Nya.

Anas r.a. berkata: Aku telah mendengar Umar bin al-Khattab r.a. masuk satu tanah kebun dan dari sebalik dinding itu aku mendengar beliau berkata: Umar bin al-Khattab adalah Amirul Mukminin?. Bagus! Bagus! Demi Allah wahai Umar, kamu hendaklah bertakwa kepada Allah s.w.t. atau Allah akan menyiksa kamu.

Al-Bakhtari bin Harithah berkata: Aku telah pergi berjumpa dengan seorang abid. Di depannya ada unggun api yang dinyalakan sedang dia mencela-cela dirinya. Dia terus menerus mencela dirinya sehinggalah dia mati. Sebahagian ulamak apabila disebut berkenaan cerita orang yang soleh, dia akan berkata: Celakalah aku dan memang dia telah celaka (kerana amalannya sedikit berbanding mereka).

Ketahuilah bahawa musuh utama kamu ialah nafsu yang berada dalam batang tubuh kamu sendiri. Ia dicipta di atas sifat suka menyuruh kepada kejahatan (nafsu ammarah) dan lebih cenderung kepadanya. Oleh itu kamu diperintahkan untuk membetul dan menyucikannya serta memutuskannya dari segala punca yang mendorongnya ke arah kejahatan. Seterusnya kamu ditugaskan untuk memandunya secara paksa ke arah mengabdikan diri kepada Tuhannya. Jika sekiranya kamu mengabaikan tugas-tugas ini, nafsu tersebut akan membesar dan berkeliaran. Ketika itu kamu tidak mungkin akan dapat mengawalnya lagi. Sekiranya kamu sentiasa mencelanya, kita berharap ia akan menjadi nafsu yang tenang (nafsu mutmainnah). Oleh itu janganlah kamu lupa untuk mengingatkannya (diri kamu sendiri).

Cara kamu berhadapan dengan nafsu atau jiwa kamu sendiri ialah dengan mengakui kejahilan dan kebodohannya. Katalah kepada dirimu: Wahai jiwa, alangkah bodohnya kamu. Kamu mendakwa cerdik dan pintar sedangkan hakikatnya kamu sangat dungu dan bodoh. Bukankah kamu tidak tahu ke manakah arah tujumu, sama ada ke syurga ataupun neraka? Patutkah bagi orang yang tidak mengetahui kesudahan perjalanannya ini berada dalam keadaan lalai?. Mungkin hari ini atau esok dia akan disambar oleh kematian.

Hai jiwa, tidakkah kamu mengetahui bahawa setiap yang mendatang adalah dekat? Kematian pula datang dengan mengejut tanpa dijemput. Ia tidak bergantung kepada mana-mana usia bahkan semua peringkat usia didatangi kematian secara mengejut. Kalaulah kematiannya tidak secara mengejut, mungkin dia akan ditimpa sakit secara mengejut yang kemudiannya membawa kematian. Kenapa kamu tidak membuat sebarang persediaan untuk menghadapi mati yang sangat dekat dengan kamu itu?!

Wahai jiwa! Sekiranya kamu berani melakukan maksiat kerana beriktigad bahawa Allah s.w.t. tidak melihat kamu, maka amat beratlah kekufuran kamu! Sekiranya maksiat yang kamu lakukan itu dalam keadaan kamu mengetahui bahawa Allah s.w.t. melihat dan mengawasi kamu, maka betapa gilanya kamu dan kurangnya perasaan malumu kepada Allah. Adakah kamu rasa mampu berhadapan dengan azab-Nya? Cubalah kamu rasakan dahulu dengan duduk selama sejam dalam bilik mandi sauna atau kamu dekatkan jari jemarimu kepada api dunia ini.

Wahai jiwa! Sekiranya penghalang kamu daripada beristiqamah ialah cintakan syahwat, maka carilah keinginan-keinginan yang tiada keburukan (yang halal). Mungkin dengan satu suapan akan dapat mencegah suapan-suapan yang lain.

Apa pendapat kamu apabila orang sakit yang waras diminta oleh para doktor supaya tidak meminum air selama tiga hari agar dia sembuh dan selepas itu dapat minum air seumur hidupnya? Apakah pertimbangan akal dalam memenuhi kehendak nafsu ini? Adakah dia mahu bersabar selama tiga hari demi kenikmatan yang akan didapati selama-lamanya?. Atau adakah dia terus menunaikan tuntutan syahwatnya sekarang, kemudian dia akan mengalami kesengsaraan untuk selamanya?! Seluruh usia kamu di dunia ini lebih sedikit dari tiga hari jika dibandingkan dengan kehidupan yang kekal abadi. Iaitu hari ahli syurga bernikmat dan ahli neraka menerima azab seksa. Bahkan ia lebih sedikit dari satu saat jika dinisbahkan dengan umur dunia. Mudah-mudahan aku dapat menyedari! Adakah keperitan bersabar dari menunaikan tuntutan syahwat lebih berat dan lebih lama tempohnya ataupun kesengsaraan berada di dasar neraka?. Sesiapa yang tidak mampu bersabar dalam mengharungi keperitan bermujahadah, maka bagaimana dia boleh mampu menghadapi keperitan azab seksa di hari akhirat kelak?

Wahai jiwa, adakah kamu inginkan kedudukan? Bukankah selepas enam puluh tahun atau seumpamanya, tiada lagi kedudukan dan pangkat yang kekal bagimu?. Begitu juga orang yang menghormati dan memandang hebat kepada kamu kerana mereka juga akan mati.

Kenapalah kamu tidak tinggalkan dunia, sedangkan ia boleh menyebabkan orang yang bersaing merebutnya menjadi hina dan menimbulkan banyak kesusahan. Adakah kamu tidak merasa takut lantaran usianya yang begitu pendek?. Adakah kamu sanggup menggantikan perlindungan Allah, Tuhan sekalian alam dengan deretan kawan-kawan kamu yang dungu itu? Sesungguhnya terlalu banyak barang yang telah luput darimu dan umurpun hanya sedikit sahaja.

Sekiranya kamu sekarang sudah bertaubat dan insaf, kamu tetap akan menyesal lantaran maksiat yang telah kamu lakukan dahulu. Apatah lagi jika kamu terus melakukan maksiat. Beramallah di hari yang pendek ini untuk manfaat pada hari yang kekal selamanya nanti. Sediakanlah jawapan bagi soalan yang akan ditanya. Keluarlah dari dunia dengan bebas merdeka (mati dalam keadaan beriman dan beramal soleh) sebelum sampai masa kamu dipaksa keluar (dalam keadaan tidak bersedia menghadapinya). Siapa yang kenderaannya (dunia) berjalan siang dan malam, pasti dia akan berjalan dengannya walaupun dia sendiri tidak mahu berjalan.⁷²⁶
726 laitu umurnya tetap akan bertambah dengan bertambahnya usia dunia. walaupun keinginannya mahu kekal di dunia ini-pent.

Fikirkanlah pesanan ini. Sekiranya ia tidak membawa apa-apa faedah, tangisilah apa yang kamu telah lakukan kerana air mata adalah berasal dari lautan rahmat.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment