Saturday, 9 April 2022

SIRI 321 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.50 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 33: Mengingati Mati Dan Hakikat Selepas Mati

Tajuk Mudarasah: Kata-kata Sekumpulan Sahabat Dan Lain-Lain Ketika Hampir Mati
Halaman Rujukan Kitab : 699

Nota Mudarasah:

Menziarahi kubur adalah perkara yang digalakkan. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:
زُورُوا اْلقُبُورَ فَإِنَّهَا تُذَكِّرُكُمُ الآخِرَةَ
Ziarahilah kubur, kerana ia akan mengingatkan kamu kepada hari akhirat.⁷⁶⁰
760 Riwayat Muslim (1977), Abu Daud (2/72), al-Baihaqi (4/77), an-Nasaie (1/285) dan Ahmad (5/350,355,361) daripada Buraidah ra....

Sesiapa yang menziarahi kubur, hendaklah dia menghadap ke arah muka si mati,⁷⁶¹ seterusnya bacakanlah sesuatu dari al-Quran serta hadiahkanlah kepada si mati. Seelok-eloknya ziarahilah kubur pada hari Jumaat.⁷⁶²
761 Terdapat perselisihan pendapat di kalangan ulamak berkenaan dengannya. Untuk penjelasan, sila lihat risalah Hukmu al-Qiraat Lil Amwat oleh Syeikh Muhammad Abdul Salam as-Syaqiri, satu cetakan yang masyhur. Lihatlah juga dalam kitab Nailul Autor (4/79) oleh as-Syaukani. Berkenaan bacaan al-Quran di kubur, Abu Daud telah berkata dalam kitab al-Masail karangannya (muka surat 158): Aku telah mendengar bahawa Ahmad telah ditanya berkenaan dengan bacaan al-Quran di kubur. Dia menjawab: Tidak harus dilakukan!!!
762 Banyak cerita-cerita diriwayatkan berkenaan kelebihan perbuatan tersebut. sebagaimana dalam kitab ar-Ruh (muka surat 5) yang ditahqiq oleh as Syeikh Abdul Fattah Umar ibnu al-Qayyum. Namun begitu riwayat-riwayat ini lemah, tidak kuat. Sila lihat al-Madkhal (3/277) oleh Ibnu al-Haj al-Maliki.

Setelah dua tahun Asim al-Jahdari meninggal dunia, seorang lelaki dari ahli keluarganya melihatnya dalam mimpi dan berkata kepadanya: Bukankan kamu telah meninggal dunia?. Dia menjawab: Ya, aku telah pun meninggal dunia. Lelaki itu bertanya lagi: Di manakah kamu berada sekarang?. Asim menjawab: Demi Allah, sesungguhnya aku berada dalam sebuah taman syurga. Setiap malam dan pagi Jumaat aku dan beberapa orang sahabatku berkumpul di sisi Abu Bakar bin Abdullah al-Muzni sambil berbalas balas berita berkenaan kamu semua. Lelaki itu menyambung: Aku bertanya lagi: Adakah kamu berkumpul dengan jasad kamu atau hanya dengan roh? Beliau menjawab: Jauh sekali! Jasad-jasad kami telah hancur. Hanya roh-roh kami yang berkumpul. Aku bertanya: Adakah kamu mengetahui bahawa kami menziarahi kamu? Beliau menjawab: Kami mengetahuinya pada petang dan keseluruhan Jumaat sehingga pagi Sabtu sebelum terbit matahari. Aku bertanya lagi: Kenapa tidak pada hari-hari yang lain? Beliau menjawab: Kerana kemuliaan dan kebesaran hari Jumaat.⁷⁶³
763 Sila lihat komen yang sebelumnya.

Diriwayatkan bahawa Othman bin Sawad at-Tufaawi mempunyai seorang ibu yang tergolong di kalangan ahli ibadat sehingga digelar rahib. Othman bin Sawad berkata: Ketika dia (ibunya) dalam keadaan nazak, dia telah mendongakkan kepalanya ke langit seraya berkata: Wahai Kekasihku! Wahai yang menjadi tempat pergantunganku semasa hidup atau matiku, janganlah Kamu kecewakan aku selepas matiku dan janganlah biarkan aku kesepian di dalam kuburku. Othman berkata lagi: Selepas itu dia pun mati. Setiap hari Jumaat aku pergi menziarahi kuburnya dan berdoa untuknya serta meminta ampun untuknya dan juga untuk setiap penghuni kubur. Pada satu malam aku bermimpi melihatnya lalu berkata: Wahai ibu, bagaimana keadaan ibu?. Dia menjawab: Wahai anakku! Kematian adalah sesuatu yang amat perit dan aku Alhamdulillah berada di alam barzakh yang terpuji, yang semerbak bau harumannya. Kami berbantalkan sutera yang nipis (as-sundus) dan yang tebal (istibraq) sehinggalah hari kebangkitan. Aku bertanya: Adakah kamu mempunyai apa-apa keperluan?. Dia menjawab: Ya. Jangan kamu tinggalkan apa yang kamu lakukan iaitu menziarahi kami. Aku sangat suka dengan kedatanganmu pada hari Jumaat. Apabila kamu datang, dikatakan kepadaku: Wahai rahib!!! Itu dia anakmu telah datang. Aku bergembira dan seluruh ruh-ruh si mati yang berada di sisiku turut bergembira.

Anas bin Mansur telah berkata: Ada seorang lelaki yang sentiasa menziarahi jenazah dan bersembahyang ke atas mereka. Apabila tiba waktu petang, dia berdiri di pintu perkuburan dan berdoa: Semoga Allah s.w.t. menceriakan kesepian kamu, merahmati perjalanan kamu, memaafkan kesalahan kamu dan menerima kebajikan kamu. Itulah sahaja doanya dan tidak lebih daripada itu. Lelaki itu menceritakan: Pada suatu petang, aku tidak pergi ke kubur dan tentunya tidak dapat berdoa sepertimana biasa. Sedang aku tidur, tiba-tiba aku merasakan berada di tengah khalayak ramai yang datang kepadaku. Aku bertanya: Siapakah kamu dan apa yang kamu mahu?. Mereka menjawab: Kami adalah ahli kubur. Kamu selalu memberikan hadiah kepada kami. Aku bertanya: Apa hadiahnya itu? Mereka menjawab: Doa-doa kamu itu. Aku berkata: Kalau begitu, aku akan kembali men ziarahi kamu semua dan berdoa seperti mana biasa. Selepas daripada ini aku tidak akan meninggalkannya selama-lamanya.

Bassyar bin Ghalib berkata: Aku bertemu dengan Rabiah (al-Adawiyah) dalam mimpiku. Sebenarnya aku sentiasa berdoa untuknya. Beliau berkata: Wahai Bassyar! Hadiahmu itu datang kepadaku di atas dulang-dulang cahaya dan diselubungi oleh sapu tangan-sapu tangan sutera. Aku berkata: Kenapa jadi begitu? Beliau menjawab: Begitulah doa orang yang hidup kepada si mati dan doa mereka diperkenankan. Diletakkan doa mereka itu di atas dulang cahaya dan diselubungi dengan saputangan dari sutera. Kemudian si mati yang didoakan itu dipanggil lalu dikatakan kepadanya: Ini dia hadiah yang telah diberikan oleh si fulan kepada engkau.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment