Sunday, 10 April 2022

SIRI 322 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.50 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 33: Mengingati Mati Dan Hakikat Selepas Mati

Tajuk Mudarasah: Hakikat Mati
Halaman Rujukan Kitab : 701

Nota Mudarasah:

Hakikat Mati

Berdasarkan kepada ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis berkenaan mati, menunjukkan bahawa ia adalah perpisahan antara roh dan jasad. Selepas itu roh terus kekal sama ada dalam keadaan azab ataupun nikmat. Sesungguhnya roh dapat merasai derita dengan berbagai jenis kepiluan dan kesedihan sebagaimana juga ia merasa bahagia dengan berbagai jenis kegembiraan tanpa perlu bergantung kepada anggota jasad⁷⁶⁴. Setiap sifat kepada roh. itu sendiri akan kekal bersamanya selepas ruh itu meninggalkan jasad. Manakala sifatnya yang berfungsi melalui anggota badan tidak lagi berperanan disebabkan jasad sudah mati sehinggalah roh itu dikembalikan semula kepada jasad. Tidak mustahil roh akan dikembalikan kepada jasad ketika di dalam kubur dan tidak mustahil juga ia ditangguhkan (tidak dikembalikan kepada jasad) sehingga ke hari kiamat⁷⁶⁵. Allah lebih mengetahui terhadap apa yang ditetapkan ke atas setiap hamba-Nya.
764 Bagi Salafussoleh: Azab dan nikmat di dalam kubur akan berlaku kepada roh dan jasadnya sekali. Sila lihat huraian lebih terperinci dalam kitab Syarhul Aqidah at-Tohawiyyah (447).
765 Sila lihat kitab Lawami' al-Anwar al-Bahiyyah (2/26-28) karangan as Saffarini.

Dengan ini maksud mati ialah terputusnya fungsi roh dari badan manusia serta tergendalanya fungsi badan yang merupakan alat kepada roh. Ia juga akan memutuskan hubungan manusia dengan segala harta benda dan ahli keluarga serta mengejutkannya dengan satu alam lain yang tidak seperti alam ini. Sekiranya di dunia ini dia bergembira dan merasa tenang disebabkan sesuatu benda yang dimiliki (seperti harta benda dan keluarga), nescaya perpisahan ini akan menjadikan satu kekesalan yang besar kepadanya. Namun jika kegembiraan dan ketenangannya di dunia adalah hasil daripada zikrullah, nescaya kenikmatan yang akan dirasainya lebih berganda kerana engan perpisahan tersebut, terhapuslah halangan antaranya dan Kekasihnya (Allah). Kesibukan dunialah yang sebenarnya menjauhkan seseorang hamba dari mengingati Allah s.w.t.. Oleh itu, dengan kematian dia dapat merasai kenikmatan tersebut kerana segala halangan dan kesibukan dunia telah terputus darinya.

Dengan kematian, seseorang akan mengetahui apa yang selama ini tidak diketahuinya semasa hidup sepertimana seorang yang jaga menyedari apa yang tidak disedarinya semasa tidur. Manusia sebenarnya dalam keadaan tidur, apabila mereka mati barulah mereka sedar.⁷⁶⁶
766 Setengah ulamak menyatakan bahawa ini adalah sabda Rasulullah s.a.w.. Kenyataan ini tidak berasas, sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Iraqi dalam kitab al-Mughni, as-Subki dalam kitab Tobaqat as-Syafieyyah (4/180) serta al-'Ajluni dalam kitab Kasyful Khafa' (2/312).

Perkara pertama yang akan terdedah kepadanya ialah amal baik dan buruk yang akan memberikan manfaat atau mudarat kepadanya. Sebenarnya dulu (semasa hidup), kesemua itu sudah sedia tertulis dalam sebuah catatan di bawah lipatan rahsia hatinya. Tetapi dia tidak sempat untuk memerhati dan menjenguknya kerana terlalu sibuk dengan urusan dunianya. Apabila kesibukan itu hilang kerana kematiannya, ketika itu baru dia sedar akibat daripada segala perbuatannya itu. Apabila dia melihat satu amalan buruknya, dia merasa kesal sehingga menyebabkan dia terpaksa mengharungi keperitan neraka untuk membersihkan keburukannya itu. Semua itu hanya disedarinya ketika mati. Kesakitan dan keperitan inilah yang akan terus menghantui si mati yang derhaka sebelum pengke bumiannya. Kita memohon kesejahteraan dengan Allah agar menyelamatkan kita daripada keadaan tersebut.

Dalil yang menunjukkan bahawa roh itu tidak terhapus disebabkan mati ialah firman Allah s.w.t.:
وَلَا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَمْوَاتًا ۚ بَلْ أَحْيَاءٌ عِنْدَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ
Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang yang terbunuh (yang gugur syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki.
(Aali-Imran: 169).

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment