Friday, 8 April 2022

SIRI 320 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.50 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 33: Mengingati Mati Dan Hakikat Selepas Mati

Tajuk Mudarasah: Kewafatan Rasulullah s.a.w. dan Khulafa' ar-Rasyidin
Sub Tajuk: 5. Kewafatan Ali bin Abi Talib r.a.

Halaman Rujukan Kitab : 696

Nota Mudarasah:

5. Kewafatan Ali bin Abi Talib r.a.

As-Sya'abi meriwayatkan: Selepas Ali r.a. ditikam, beliau berkata: Apa yang telah dilakukan kepada orang yang menikamku?. Mereka menjawab: Kami telah menangkapnya. Ali r.a. berkata: Berilah dia makan dan minum dari makanan dan minumanku. Jika sekiranya aku terus hidup, aku sendiri akan memikirkan bagaimana mahu menghukumnya tetapi jika aku mati, hukumlah dia dengan satu pukulan, jangan lebih.

Kemudian Ali berpesan agar anaknya al-Hasan memandi kannya nanti dan berkata: Janganlah kafankan aku dengan kain yang mahal kerana aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Janganlah kamu membeli kain kafan yang mahal kerana ia juga akan musnah dan binasa⁷⁵⁸. Bawalah jenazahku dengan langkah yang sederhana, tidak terlalu laju dan jangan terlalu lambat. Jika sekiranya baik, percepatkan urusan tersebut tetapi sekiranya tidak, buangkanlah aku dari bahu-bahu kamu (jangan kamu memikul aku).
758 Riwayat Abu Daud (3154) dan pada sanadnya terdapat Malik al-Janabi. seorang yang sederhana hadisnya.

Diriwayatkan bahawa pada malam beliau ditikam, Ibnu at Tayyah telah datang menemuinya ketika fajar menyinsing lalu mengazankan kepadanya untuk didirikan solat. Ketika itu Ali dalam keadaan berbaring dan terasa berat badannya untuk bangun. Ibnu at-Tayyah mengulangi azan kepadanya untuk kali kedua, tetapi beliau masih tetap dalam keadaan demikian. Kemudian setelah diazankan pada kali ketiga, Ali terus bangun dan berjalan seraya berkata:
Perhebatkan persediaan kamu untuk berdepan dengan maut,
Sesungguhnya maut pasti menemui kamu.

Jangan kamu gerun dengan kematian,
Sekalipun ia menimpa seluruh ahli kumpulan kamu.

Apabila Ali r.a. tiba di sebuah pintu yang kecil, tiba-tiba Abd Rahman bin Muljim menerpa lalu menikamnya.

Kata-kata Sekumpulan Sahabat dan Lain-lain ketika Hampir Mati

Ketika waktu kematian al-Hasan bin Ali r.a. hampir tiba, beliau berkata: Keluarkan tilamku ini ke ruang tamu. Apabila ia dikeluarkan, beliau berkata: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku hanya mengharapkan ganjaran pahala dari sisi-Mu kerana ujian dan godaan nafsuku. Aku tidak pernah ditimpa musibah seumpamanya.

Sebelum ini, kami telah menyebut kata-kata daripada Khulafa' ar-Rasyidin r.a. ketika mereka hampir mati.

Ketika kematian Muaz bin Jabal r.a., diriwayatkan bahawa beliau telah berkata: Cuba lihat, adakah waktu subuh telah masuk? Lalu seorang lelaki berkata: Belum lagi. Selang seketika datang seorang lagi dan berkata: Waktu subuh sudah masuk. Lalu Muaz berkata: Aku berlindung dengan Allah s.w.t. dari waktu malam yang mana paginya membawa ke neraka. Selamat datang wahai mati yang datang melawat secara sembunyi dan kekasih yang datang dalam keadaan berhajat. Wahai Tuhanku, dahulunya aku takut kepada-Mu tetapi kini aku amat berhajat kepada-Mu. Wahai Tuhan, Engkau mengetahui bahawa aku tidak menyintai dunia atau ingin hidup lama semata-mata untuk menyewakan sungai-sungai ataupun menanam pokok-pokok, tetapi aku hidup adalah untuk saat-saat dahaga yang panjang di waktu tengahari yang amat panas, untuk menghidupkan malam yang dingin, berjuang dalam tempoh masa yang lama dan duduk bersesak dengan para ulamak dalam halaqah-halaqah zikir.

Abu Muslim berkata: Aku telah menziarahi Abu ad-Darda' dalam keadaan dia menenangkan dirinya sendiri (sebelum kematiannya) dengan berkata: Apakah tidak ada orang yang beramal sebagai persediaan menghadapi keadaan seperti apa yang aku sedang hadapi pada hari dan saat ini? Kemudian beliau dimatikan oleh Allah s.w.t..

Salman al-Farisi menangis di saat kematiannya, lalu dikatakan kepadanya: Kenapa kamu menangis? Dia menjawab: Rasulullah s.a.w. telah menasihati kami bahawa seseorang itu hendaklah berpada dengan harta seperti seorang pengembara⁷⁵⁹ sedangkan aku mempunyai semua ini semasa kematianku. Diriwayatkan bahawa harta yang ada di rumahnya ketika itu hanyalah mangkuk, bijana dan berus pembersih.
759 Riwayat Ahmad (5/438), Ibn Majah (4104), at-Tobrani dalam kitab al-Kabir (6160), (6069), (6182), al-Hakim (4/317), Abdul Razzak (20632), Abu Naim (1/195,196,197) dan (2/237), Ahmad dalam az-Zuhd (28) dan al-Qudhoie (728) melalui sanad daripadanya. Hadis sahih.

Al-Muzani meriwayatkan: Aku telah pergi menziarahi as Syafie ketika sakit yang membawa kepada kematiannya. Aku berkata kepadanya: Bagaimana keadaan pagimu? Dia menjawab: Aku berpagi dalam keadaan sedang beredar dari dunia, berpisah dari sahabat handai, berjumpa kembali dengan amalan-amalanku yang buruk, kemudian menghadapi mati dan seterusnya mengadap Allah s.w.t.. Aku tidak mengetahui adakah roh aku ini akan menuju ke syurga lalu aku mengucapkan tahniah kepadanya, atau menuju ke neraka lalu aku mengucapkan takziah untuknya. Kemudian dia pun bersyair:

Apabila hatiku keras dan jalanku semakin sempit,
Aku mengharapkan keampunan-Mu sebagai tangga untukku,
Banyak sekali dosa-dosaku, tetapi bila aku bandingkan dengan Keampunan-Mu wahai Tuhan, ternyata keampunan-Mu lah yang lebih besar
Engkau adalah Tuhan Yang Maha Mengampuni, sentiasalah Engkau Berlaku baik dan mengampunkan, kerana anugerah dan kemuliaan-Mu.

Pada suatu ketika, Abu Darda' r.a. duduk di sebelah kubur. Lalu beliau ditanya sebabnya. Beliau menjawab: Aku duduk dengan satu kaum yang akan mengingatkanku tempat kesudahanku dan jika aku tiada, mereka sekali-kali tidak mengumpatku.

Maimun bin Mihran telah berkata: Satu hari aku bersama-sama Umar bin Abdul Aziz pergi ke perkuburan. Apabila melihat kubur, beliau terus menangis dan kemudian berpaling ke arahku sambil berkata: Wahai Maimun, ini ialah kubur nenek moyangku, keturunan bani Umaiyyah. Mereka seolah-olah tidak pernah menikmati keseronokan ahli dunia. Tidakkah kamu lihat mereka sekarang terbujur kaku ditimpa musibah dan hukuman, di samping bala yang berat serta badan yang disengat dan dipatuk oleh binatang berbisa? Kemudian beliau menangis lagi dan berkata: Demi Allah, aku tidak mengetahui manusia yang paling banyak mendapat nikmat melainkan orang yang dapat memasuki kuburnya dalam keadaan selamat dari azab Allah Taala.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment