Friday, 1 April 2022

SIRI 313 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.50 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 33: Mengingati Mati Dan Hakikat Selepas Mati

Tajuk Mudarasah: Perbezaan Antara Manusia Dalam Konteks Panjang Angan-Angan

Halaman Rujukan Kitab : 682

Nota Mudarasah:

Perbezaan antara Manusia dalam Konteks Panjang Angan-angan

Terdapat banyak perbezaan yang berlaku antara manusia dalam soal angan-angan yang panjang ini. Ada di kalangan mereka yang berangan-angan untuk terus hidup di muka bumi ini sehingga ke usia tua dan di kalangan mereka ada yang tidak pernah putus dari terus berangan-angan dalam apa keadaan pun. Ada juga yang pendek angan-angannya. Abu Uthman an-Nahdi diriwayatkan telah berkata: Umurku telah mencecah 130 tahun. Semua perkara aku dapati semakin berkurangan dan lemah kecuali cita-citaku yang tetap kuat sepertimana dahulu.

Berhubung dengan pendek angan-angan, diceritakan bahawa isteri kepada Habib Abu Muhamad berkata: Abu Muhamad telah berkata kepadaku⁷³⁹: Jika aku mati pada hari ini, panggillah si fulan untuk memandikan aku dan seterusnya melakukan begitu dan begini. Maka hendaklah kamu lakukan itu dan ini. Lalu perempuan itu ditanya: Adakah disebabkan dia telah bermimpi bahawa dia akan mati? Dia menjawab: Bukan kerana itu, bahkan begitulah katanya setiap hari.
739 Sila lihat kitab Hilyatul Auliya' (6/149).

Ibrahim bin Sibt berkata: Abu Zur'ah telah berkata kepadaku: Aku akan memberitahumu sesuatu yang tidak pernah aku beritahu kepada orang lain. Semenjak 20 tahun dahulu, setiap kali aku keluar dari masjid, tidak pernah terlintas dalam hatiku bahawa aku akan terus hidup dan dapat kembali semula kepadanya.

Dikatakan kepada sebahagian di kalangan mereka: Adakah kamu tidak mahu membasuh bajumu?. Dia menjawab: Apa yang aku sedang hadapi lebih perlu dari itu.

Muhammad bin Abi Taubah pula berkata: Makruf telah iqamat untuk mendirikan sembahyang. Kemudian dia berkata kepadaku:
Sila ke hadapan (untuk menjadi imam). Aku menjawab. Jika aku menjadi imam kali ini, selepas ini aku tidak akan bersembahyang dengan kamu lagi. Makruf terus berkata: Adakah kamu bercakap bahawa kamu akan bersembahyang lain selepas daripada ini? Kami berlindung dengan Allah dari berangan-angan panjang kerana ia akan menghalang dari melakukan amalan dengan cara yang terbaik.

Inilah keadaan orang zuhud yang pendek angan-angannya. Apabila pendek angan-angan, amalannya akan menjadi bertambah baik. Ini kerana dia menjangkakan dia akan mati pada hari itu lalu bersiap sedia umpama orang yang benar-benar akan mati selepas itu. Jika nyawanya dipanjangkan sampai ke petang, dia bersyukur dan segera mengandaikan akan mati pada sebelah malamnya, lalu dia segera beramal.

Syarak menggalakkan supaya beramal dan bersegera melakukannya. Dalam Sahih al-Bukhari⁷⁴⁰, Ibn Abbas r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
740 No. 6412, Ahmad (2340), (3208), at-Tirmizi (2405), (2406), Ibnu Majah (4170), Ibnu al-Mubarak dalam kitab az-Zuhd (1), ad-Darimi (2710), al Hakim (4/306), Abu Naim (3/74), (8/174) dan al-Qudhoie (295).

نِعْمَتَانِ مَغْبُونٌ فِيهِمَا كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ الصِّحَّةُ وَالْفَرَاغُ
Dua nikmat yang kebanyakan manusia tertipu (lalai) padanya, iaitu nikmat kesihatan dan nikmat waktu lapang.


Ibn Abbas r.a. juga meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. telah menasihati seseorang dengan sabdanya:
اغْتَنِمْ خَمْسًا قَبْلَ خَمْسٍ : شَبَابَكَ قَبْلَ هَرَمِكَ ، وَصِحَّتَكَ قَبْلَ سَقَيِكَ ، وَغِنَاكَ قَبْلَ فَقْرِكَ ، وَفَرَاغَكَ قَبْلَ شُغْلِكَ ، وَحَيَاتَكَ قَبْلَ مَوْتِكَ
Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara yang lain: Waktu mudamu sebelum datang waktu tuamu, waktu sihatmu sebelum datang waktu sakitmu, waktu kayamu sebelum datang waktu miskinmu, waktu lapangmu sebelum datang waktu sibukmu dan waktu hidupmu sebelum datang waktu matimu.⁷⁴¹
741 Riwayat al-Hakim (4/306) dan Ibnu Abu ad-Dunia dalam kitab Qasrul Amal (2/1/2) dengan sanad yang sahih sebagaimana ditegaskan oleh al-Albani ketika mentakhrijkan hadis dalam kitab Iqtido' al-'Ilmi (no. 170).

Umar r.a. berkata: Bertindak dengan perlahan (tidak gopoh) dalam setiap perkara adalah baik kecuali perkara yang berkaitan hari akhirat. Al-Hasan telah berkata: Sungguh menghairankan satu golongan manusia yang telah diperintahkan supaya menyiapkan bekalan. dipanggil untuk berangkat (meneruskan perjalanan) dan semua orang dari awal hingga akhir telah dilarang keluar (meninggalkan kafilah kerana masa berangkat telah tiba), tetapi mereka masih leka bermain-main.

Suhaim, maula bani Tamim telah berkata: Aku duduk di sisi Abdullah bin Abdullah, tiba-tiba dia meringkaskan solatnya. Setelah itu dia berpaling ke arahku dan berkata: Tolong rehatkan aku dari mendengar hajatmu kerana aku sekarang nak cepat. Aku bertanya: Apa yang menyebabkan kamu tergesa-gesa?. Beliau menjawab: Malaikat Maut. Pada setiap hari, beliau bersembahyang sebanyak seribu rakaat.

Mereka bersegera seberapa mungkin dalam melakukan amalan. Ibnu Umar r.a. bangun pada waktu malam lalu mengambil wuduk dan bersembahyang. Kemudian dia terlelap seumpama terlelapnya burung. Lalu dia berwuduk dan sembahyang lagi. Setelah itu dia kembali terlelap, kemudian dia terus bersembahyang. Dia melakukan seperti itu beberapa kali. Umair bin Hani' pula bertasbih sebanyak seratus ribu kali pada setiap hari. Abu Bakar bin 'Ayyasy pula berkata: Aku telah mengkhatamkan al-Quran di penjuru rumahku ini sebanyak 18 ribu kali khatam.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment