Monday, 11 April 2022

SIRI 323 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.50 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 33: Mengingati Mati Dan Hakikat Selepas Mati

Tajuk Mudarasah: Hakikat Mati
Halaman Rujukan Kitab : 703

Nota Mudarasah:

Masruq berkata: Kami bertanya kepada Abdullah bin Mas'ud r.a. tentang maksud ayat ini. Abdullah bin Mas'ud r.a. menjawab: Ruh mereka berada dalam perut burung berwarna hijau yang bersarang di pelita-pelita yang tersangkut pada Arash. Burung-burung ini bebas berterbangan dalam syurga mengikut kehendaknya. Kemudian ia kembali semula ke pelita-pelita tersebut- Masruq menyebut hadis ini sehingga ke penghujungnya.

Begitu juga firman Allah s.w.t.:
اَلنَّارُ يُعْرَضُوْنَ عَلَيْهَا غُدُوًّا وَّعَشِيًّا ۚوَيَوْمَ تَقُوْمُ السَّاعَةُ ۗ اَدْخِلُوْٓا اٰلَ فِرْعَوْنَ اَشَدَّ الْعَذَابِ
Mereka didedahkan kepada bahang api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada dalam alam barzakh). Dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): Masukkanlah Firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat-beratnya!.
(Ghafir:46)

Ayat ini menunjukkan mereka diseksa setelah mati.

Dalam hadis as-Sahihain⁷⁶⁷ ada menyebut berkenaan hadis Ibnu Umar r.a. yang berkata: Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:
767 Riwayat al-Bukhari (3/193), Muslim (2866), Malik (1/239), dan an-Nasaie (4/107).
Apabila seseorang di kalangan kamu mati, akan dipamer kan kepadanya tempat duduknya di waktu pagi dan petang. Sekiranya dia di kalangan penghuni syurga, dipamerkan tempat duduknya di syurga. Sebaliknya, jika dia di kalangan penghuni neraka, dia akan dipamerkan tempat duduknya di neraka. Kemudian dikatakan kepadanya: Inilah dia tempat tinggal kamu sehinggalah Allah membangkitkan kamu pada hari kiamat kelak.

Sebagaimana yang telah diterangkan sebelum ini, apabila didedahkan amalan jahat, seseorang itu akan ditimpa penyesalan dan kedukaan. Berlainan dengan orang yang beriman, di mana Abdullah bin Umar telah berkata: Ketika roh keluar dari badan orang yang beriman, keadaannya adalah seumpama tahanan yang keluar dari penjara. Dia akan menikmati keseronokan di bumi dengan bebas bergerak ke mana-mana. Kenyataan ini adalah tepat kerana sejurus selepas mati, orang yang beriman akan menyedari bahawa dunia hanyalah seperti penjara jika dibandingkan dengan kurniaan dan kemuliaan Allah. Dia seperti seorang tahanan dalam bilik yang gelap, lalu dibukakan pintu untuknya keluar menuju ke arah kebun yang luas menghijau dan mengandungi pelbagai jenis pohon yang rimbun. Ketika itu, pasti dia tidak ingin kembali ke dunia semula sebagaimana dia tidak ingin kembali ke dalam perut ibunya.

Mujahid berkata: Selepas seseorang mukmin itu mati, dia akan diberitahu khabar gembira berkenaan kebaikan anaknya agar dapat menenang dan melapangkan hatinya.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment