Thursday, 28 April 2022

SIRI 340 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.50 pagi.

Bahagian 1: Ibadat

Bab 1: Ibadat Ilmu Dan Kelebihannya Serta Yang Berkaitan Dengannya

Tajuk Mudarasah: Kewajiban Menuntut Ilmu

Halaman Rujukan Kitab : 8

Nota Mudarasah:

Kewajipan Menuntut Ilmu

Anas bin Malik r.a. meriwayatkan daripada Nabi s.a.w. bahawa baginda telah bersabda:
طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمِ
Menuntut ilmu adalah wajib ke atas setiap muslim.

Riwayat Imam Ahmad dalam kitab al-'Ilal.²³
23 Dalam soal takhrij, hadis ini ada pertikaian kerana Imam Ahmad tidak pernah meriwayatkannya dalam kitab al-'Ilal, tetapi sebenarnya Ibnul Jaun telah mengambilnya dalam kitab al-Ilal al-Mutanahiyyah (1/66) daripada Ahmad. Beliau berkata: Tidak ada riwayat yang thabit di sisi kami dalam bab ini. Hadis ini adalah hadis hasan li ghairihi (menjadi hasan disebabkan ada riwayat lain yang menguatkannya). Ia mempunyai jalan-jalan sanad (turuq) yang banyak yang kesemuanya disebutkan oleh al-Imam Ibnul Jaun dalam kitab al-Ilal al-Mutanahiyyah (1/54-66), as-Sakhawi dalam kitab al-Maqasid al-Hasanah (275-277), az-Zubaidi dalam kitab Syarh al-Ihya (1/97-98), al-Mizzi, as-Suyuti, al-Manawi, al-Albani dan lain-lain lagi.

Pengarang r.hm. berkata: Ulamak berselisih pendapat mengenai ilmu yang wajib dituntut sebagaimana berikut:

i. Ulamak fekah berpendapat: Ilmu fekah kerana melaluinya dapat diketahui hukum halal dan haram.

ii. Ulamak tafsir dan hadis pula berkata: Ilmu tentang al-Quran dan as-Sunnah. Ini kerana ia adalah sumber kepada semua ilmu yang lain.

iii. Ulamak tasauf pula berkata: Ilmu tentang ikhlas dan segala penyakit jiwa.

iv. Ulamak tauhid berpendapat: Ilmu Kalam.

Dan banyak lagi pendapat yang tiada satupun dapat memuaskan hati semua pihak. Pendapat yang paling sahih ialah ilmu mengenai hubungan seseorang hamba dengan Tuhannya.²⁴ Ilmu tersebut merangkumi tiga perkara iaitu pegangan (iktiqad), perbuatan (melakukan apa yang diperintahkan) dan peninggalan (meninggalkan apa yang dilarang).
24 laitu semua ilmu yang tersebut di atas.

Apabila seorang kanak-kanak mencapai umur baligh, kewa jipan pertamanya ialah mempelajari dua kalimah syahadah dan memahami maknanya walaupun tanpa kajian atau dalil. Ini kerana Nabi s.a.w. telah berpada dengan wujudnya at-tasdiq (membenarkan dan yakin dalam hati) oleh orang arab badwi walaupun tanpa mempelajari dalil. Ini dikenali dengan kewajipan semasa (fardul waqti) ketika itu. Selepas itu barulah mereka dikehendaki meneliti dan mendapatkan dalil.²⁵
25 Ini adalah pandangan ulamak mutakallimin.

Apabila tiba waktu sembahyang, wajiblah dia belajar mengenai bersuci dan sembahyang. Apabila dia hidup hingga tibanya Ramadhan, dia wajib mempelajari mengenai ibadat puasa. Sekiranya dia mempunyai harta dan telah berlalu pemilikannya selama setahun, dia wajib pula mempelajari zakat. Apabila tiba waktu haji dan dia mampu menunaikannya, wajiblah dia mengetahui cara-cara menunaikan haji.

Manakala dalam perkara yang wajib ditinggalkan, ia bergan tung kepada keadaan seseorang. Seseorang yang buta tidak wajib mempelajari perkara yang diharamkan melihatnya. Orang bisu pula tidak wajib mempelajari berkenaan percakapan-percakapan yang diharamkan. Sekiranya di sesebuah negeri itu terdapat perbuatan meminum arak dan memakai sutera, dia wajib mengetahui hukum pengharaman perkara tersebut.

Dalam perkara iktikad, ia wajib dipelajari bergantung kepada cetusan atau lintasan hati. Sekiranya wujud perasaan syak terhadap pengertian dua kalimah syahadah dalam lintasan hatinya, dia wajib mempelajarinya sehingga dapat menghilangkan parasaan syak tersebut. Sekiranya perkara bid'ah merebak dengan meluas dalam negeri, dia wajib mempelajari perkara yang sebenarnya. Begitulah juga sekiranya dia seorang peniaga di negeri yang mengamalkan sistem riba secara meluas, dia wajib mempelajari cara menjauhi dirinya daripada perkara tersebut. Sewajarnya juga dia mempelajari perkara yang berkaitan dengan keimanan kepada hari kebangkitan, balasan syurga dan neraka.²⁶
26 Begitu juga dengan keimanan kepada yang lain-lain sebagaimana dihimpunkan oleh Imam at-Tohawi yang dijelaskan lagi oleh Imam Ibnu Abu al-Iz al-Hanafi dalam kitab karangannya Syarh al-Aqidah al Tohawiyyah.

Berdasarkan huraian di atas, jelaslah bahawa yang dimaksudkan dengan ilmu yang wajib dituntut itu ialah ilmu fardu ain iaitu ilmu yang wajib ke atas setiap individu.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment