Friday, 29 April 2022

SIRI 341 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.50 pagi.

Bahagian 1: Ibadat

Bab 1: Ibadat Ilmu Dan Kelebihannya Serta Yang Berkaitan Dengannya

Tajuk Mudarasah: Kewajiban Menuntut Ilmu

Halaman Rujukan Kitab : 10

Nota Mudarasah:

Manakala fardu kifayah pula ialah setiap ilmu yang diperlu kan untuk membina urusan dunia seperti ilmu kedoktoran kerana kepentingannya dalam mengekalkan kesihatan tubuh badan, ilmu. hisab (matematik) yang sangat diperlukan dalam pembahagian harta pusaka, wasiat dan lain-lainnya.

Sekiranya tiada seorang pun yang mempelajari ilmu-ilmu tersebut dalam sesebuah negeri, seluruh penduduk negeri itu berdosa. Apabila terdapat seorang sahaja yang menguasai sesuatu ilmu tersebut, ia sudah memadai dan gugurlah kewajipan mempelajarinya ke atas orang lain.

Selain daripada ilmu kedoktoran dan hisab, ilmu yang berkait dengan asas-asas industri seperti asas tani dan jahitan juga termasuk dalam tuntutan fardu kifayah. Bahkan termasuk juga ilmu membekam. Ini kerana, sekiranya tidak terdapat orang yang mengetahui tentangnya ia boleh mempercepatkan kebinasaan kepada masyarakat. Sesungguhnya Tuhan yang menurunkan penyakit, Dialah juga yang menurunkan ubat dan membimbing manusia mengenai cara menggunakannya.

Menghalusi ilmu hisab dan kedoktoran serta lainnya secara mendalam dan terperinci dianggap sebagai tambahan. Ini kerana manusia tidak memerlukannya. Kadang-kadang mempelajari sesetengah ilmu, hukumnya adalah harus. Contohnya ilmu berkenaan syair-syair yang bebas daripada perkara yang tidak baik dan juga ilmu sejarah. Sebahagiannya pula termasuk dalam ilmu ilmu yang tercela seperti ilmu sihir, tangkal azimat dan ilmu pukau.

Manakala ilmu berkaitan syariat, kesemuanya adalah terpuji. Ia terbahagi kepada ilmu usul, furu' (cabang), ilmu muqaddimat (ilmu alat) dan ilmu mutammimat (pelengkap).

Ilmu usul ialah ilmu yang berkait dengan kitab Allah, sunnah Rasulullah s.a.w., ijmak ulamak dan athar para sahabat. Ilmu cabang ialah makna-makna atau pengertian-pengertian yang difahami daripada ilmu usul tersebut sehingga dapat memahami perkara yang tersurat dan tersirat daripada sesuatu nas. Contohnya: Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:
Janganlah seseorang hakim menjatuhkan hukuman dalam keadaan dia marah.²⁷
27 Riwayat al-Bukhari (13/120), Muslim (1717), at-Tirmizi (1334), Abu Daud (3589) dan an-Nasaie (8/237) daripada Abu Bakrah r.a..

Difahami daripadanya bahawa dia juga tidak boleh menghukum dalam keadaan lapar.

Manakala ilmu muqaddimat pula ialah ilmu alat seperti nahu dan bahasa. Kedua-duanya adalah alat ke arah memahami al-Quran dan sunnah Rasul-Nya s.a.w. Ilmu pelengkap (mutammimat) pula ialah seperti ilmu qiraat, tempat-tempat keluar (makhraj) huruf dan juga ilmu mengenai nama perawi-perawi (rijal) hadis, keadilan dan hal ehwal mereka²⁸. Kesemuanya ini adalah termasuk dalam ilmu syariat yang terpuji.
28 Bahkan ilmu ini termasuk dalam perkara usul. Ini kerana ilmu tentang sunnah nabawiyyah tidak akan sempurna tanpa mengetahui keadilan para rawi hadis dan hal ehwal mereka.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment