Tuesday, 3 May 2022

SIRI 344 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 1: Ibadat

Bab 1: Ibadat Ilmu Dan Kelebihannya Serta Yang Berkaitan Dengannya

Tajuk Mudarasah: Ilmu Muamalah

Halaman Rujukan Kitab : 14

Nota Mudarasah:

iv Tazkirah (memberi peringatan) dan zikir.

Firman Allah Taala:
وَذَكِّرْ فَإِنَّ الذِّكْرَىٰ تَنْفَعُ الْمُؤْمِنِينَ
Dan berilah peringatan kerana sesungguhnya peringatan itu akan memberikan manfaat kepada orang yang beriman.
( Az-Zariyat : 55 )

Sabda Nabi s.a.w.:
إِذَا مَرَرْتُمْ بِرِيَاضِ الْجَنَّةِ فَارْتَعُوا قَالَوا: وَمَا رِيَاضُ الْجَنَّةِ قَالَ مَجَالِسُ الذِّكْرِ
Apabila kamu berjalan melalui taman-taman syurga, maka hendaklah kamu duduk berseronok dan menikmati apa yang ada di dalamnya. Para sahabat bertanya: Apakah dia taman taman syurga itu? Sabda baginda: Majlis-majlis zikir.³²
32 Riwayat at-Tirmizi (3504) daripada Abu Hurairah r.a. dan juga Anas r.a. (3505). Terdapat kelemahan pada sanadnya. Ia tidak menjadi kuat walaupun ada riwayat-riwayat lain mempunyai maksud yang serupa dengannya kerana lafaznya yang berbeza-beza dan sebahagiannya terlalu lemah. Lihat kitab Dhoif al-Jami' al-Soghir wa Ziyadatihi (799, 800, 801). karangan al-'Allamah al-Albani.

Mereka telah memesong penggunaan perkataan ini kepada maksud majlis mendengar kisah-kisah dan juga majlis penglipurlara yang pada hari ini banyak mengandungi cerita-cerita dakwaan yang melampau dan menyeleweng.

Sesiapa yang sibuk memberi peringatan dengan kisah kisah orang yang terdahulu, hendaklah dia mengetahui bahawa kebanyakan kisah-kisah itu tidak semuanya betul dan mempunyai bukti. Sebagaimana mereka meriwayatkan kisah berkenaan nabi Yusuf a.s. yang merungkaikan tali seluarnya (ketika digoda Zulaikha) dan nabi Yusuf melihat ayahnya nabi Ya'kub menggigit jari³³, serta kisah nabi Daud yang telah menghantar panglimanya Aouria pergi berperang sehingga dia terbunuh³⁴. Kisah-kisah seperti ini boleh meninggalkan kesan buruk kepada orang yang mendengarnya.
33 Iaitu sebagaimana dalam firman Allah Taala yang bermaksud: Dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah ia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). (Yusuf: 24). Lihat kitab al-Bahru al-Muhith (5/295)
34 Iaitu sebagaimana dalam firman Allah Taala yang bermaksud: Sebenarnya orang ini ialah (seorang sahabat sebagai) saudaraku; ia mempunyai sembilan puluh sembilan ekor kambing betina dan aku mempunyai seekor sahaja. (Sod: 23-24). Lihat komentar pada kitab Zad al-Masir (7/117).

Dakwaan yang melampau dan menyeleweng³⁵ akan menyebabkan banyaknya berlaku kemudaratan kepada orang awam. Ini kerana ia menyebut tentang kasih sayang, rindu, derita berjauhan dan sebagainya sedangkan para hadirin pada umumnya terdiri daripada orang awam yang tidak mengerti apa-apa. Batin mereka dipenuhi dengan syahwat dan mereka hanya sukakan imej atau penampilan zahir sahaja. Cerita sebegini hanya akan membangkitkan nafsu yang selama ini sedia terpendam dalam jiwa mereka. Akibatnya, api syahwat akan menyala dan mereka mula terjerit-jerit (kerana kononya terlampau terkesan dengan kata-kata seperti itu, sedangkan hakikatnya ia lahir dari nafsu syahwat yang tersembunyi). Kesemua itu adalah perkara yang merosakkan.
35 Seperti kata-kata yang dihikayatkan daripada al-Hallaj "Akulah Yang Maha Benar" dan juga daripada Abu Yazid al-Bustomi "Maha Suci Aku, Maha Suci Aku". Sila lihat Syarhul Ihya' (al-Ithaf)-pent.

Dakwaan melampau ini juga mungkin mengandungi kata-kata yang berlebih-lebih (kononnya) bagi melahirkan perasaan cintakan Allah. Ini sangat berbahaya kerana pernah terjadi sekumpulan para peladang telah meninggalkan pekerjaan mereka dengan membuat dakwaan-dakwaan yang sama.

v. Hikmah

la bererti ilmu dan beramal dengannya. Ibnu Qutaibah r.hm. berkata: Seseorang itu tidak dianggap bijaksana sehinggalah dia menghimpunkan antara ilmu dan amal. Namun begitu, kini perkataan tersebut banyak digunakan untuk menggambarkan seorang doktor dan ahli nujum (peramal kejadian berdasarkan bintang-bintang).

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment