Thursday, 5 May 2022

SIRI 346 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 1: Ibadat

Bab 1: Ibadat Ilmu Dan Kelebihannya Serta Yang Berkaitan Dengannya

Tajuk Mudarasah: Ulamak yang Tidak Mendapat Manfaat dari Ilmunya

Halaman Rujukan Kitab : 17

Nota Mudarasah:

Ulamak yang Tidak Mendapat Manfaat dari Ilmunya

Perbahasan ilmu yang bertujuan saling mengatasi dan berbangga antara satu sama lain adalah punca berlakunya akhlak yang buruk dan tercela dalam ilmu. Orang yang melakukan perkara tersebut tidak akan selamat daripada sifat takabur kerana dia akan memandang rendah kepada orang yang dikalahkannya. Dia juga akan merasa ujub (bangga diri) kerana berjaya mengatasi saingannya dan tidak selamat daripada sifat riya' kerana tujuannya ialah agar orang ramai tahu kehebatannya lalu memberi tahniah dan memujinya. Oleh itu dia akan menghabiskan umurnya mempelajari ilmu-ilmu yang dapat membantunya ketika perdebatan sedangkan ia tidak memberi manfaat kepadanya pada hari akhirat. Contohnya ilmu berkenaan kaedah pertuturan yang baik dan menghafal kata-kata atau ungkapan-ungkapan yang jarang digunakan untuk menarik perhatian pendengar.

Nabi s.a.w. bersabda:
أَشَدَّ النَّاسِ عَذَابًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ عَالِمٌ لَمْ يَنْفَعْهُ عِلْمُه
Manusia yang paling dahsyat menerima azab pada hari kiamat ialah orang alim yang mana ilmunya sedikitpun tidak memberikan manfaat kepadanya.³⁶
36 Riwayat at-Tobrani dalam kitab as-Soghir (1/182), Ibnu Adi (5/1807) dan al-Baihaqi dalam as-Sya'b daripada Abu Hurairah r.a.. Pada sanadnya terdapat Uthman bin Miqsam yang dipulaukan riwayatnya oleh lebih daripada seorang Imam hadis. Al-Manawi berkata dalam kitab Faidul Qadir (1/518): Al-Munziri telah melabelkannya sebagai perawi yang lemah. Ibnu Hajar berkata: Sanad dan matan hadis ini adalah gharib (pelik). Al-'Iraqi dengan tegas telah memutuskan bahawa sanadnya lemah. Al-Albani pula mengatakan bahawa ia sangat daif sebagaimana dalam kitab Dhaif al-Jami' as-Soghir (968).

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment