Friday, 6 May 2022

SIRI 347 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 1: Ibadat

Bab 1: Ibadat Ilmu Dan Kelebihannya Serta Yang Berkaitan Dengannya

Tajuk Mudarasah: Adab-adab Seorang Penuntut dan Guru
Sub-Tajuk Mudarasah: Adab-adab Seorang Penuntut

Halaman Rujukan Kitab : 18

Nota Mudarasah:

Adab-adab Seorang Penuntut dan Guru

Adab-adab Seorang Penuntut

Seorang penuntut perlu mengutamakan penyucian jiwa daripada akhlak yang buruk dan sifat-sifat tercela kerana ilmu adalah ibadah hati. Dia juga hendaklah memutuskan hubungan dari setiap perkara yang mengganggu. Apabila pemikiran berbelah bahagi, kemampuannya untuk mengenali dan memahami kebenaran akan berkurangan.

Ulamak salaf amat mementingkan ilmu dari segala perkara yang lain. Diriwayatkan bahawa Imam Ahmad hanya berkahwin ketika umurnya menjangkau 40 tahun. Abu Bakar al-Anbari pula telah dihadiahkan dengan seorang hamba perempuan. Suatu hari hambanya itu masuk menemui Abu Bakar ketika dia sedang sibuk berfikir untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Lalu hamba perempuan tersebut menjauhkan diri daripadanya. Abu Bakar pun berkata: Bawalah perempuan ini kepada penjual hamba (untuk dijual kembali). Dia lantas bertanya: Adakah saya telah melakukan sesuatu kesalahan? Jawabnya: Tidak. Tetapi hati aku terganggu kerana kehadiranmu. Siapalah kamu untuk menghalang aku daripada ilmuku.

Penuntut ilmu hendaklah menyerah dirinya kepada guru sebagaimana seorang pesakit menyerah dirinya kepada doktor. Dia juga hendaklah merendah diri kepada gurunya dan bersungguh sungguh berkhidmat kepadanya. Ibnu Abbas r.a. pernah memimpin unta Zaid bin Thabit r.a. dan berkata: Beginilah kami disuruh melakukannya kepada ulamak.³⁷
37 Riwayat at-Tobrani, al-Hakim dan al-Baihaqi dalam kitab al-Madkhal. Sanadnya sahih. (Syarah Al-Ihya') (1/312).

Apabila penuntut ilmu sombong dan tidak mahu mengambil faedah dari sesuatu yang dianggap bukan satu kemajuan, dia sebenarnya adalah jahil. Ini kerana hikmah atau kebijaksanaan itu adalah barangan orang mukmin yang hilang. Di mana sahaja dia mendapatinya, dia hendaklah mengambilnya.³⁸
38 Di kalangan para khatib dan pendakwah, ungkapan ini terkenal sebagai hadis sedangkan ia bukan hadis, Kata-kata ini diriwayatkan oleh at-Tirmizi (2688) dan Ibnu Majah (4169). Pada sanadnya terdapat Ibrahim bin al Fadhl al-Makhzumi dan dia adalah perawi yang lemah. Lihat kitab Dhaif al-Jami' as-Soghir (4306).

Hendaklah dia meninggalkan pendapatnya kerana mendengar pendapat gurunya. Sesungguhnya kesilapan guru lebih bermanfaat daripada sikapnya yang menganggap dirinya betul.³⁹
39 Ini bukanlah suatu tindakan yang baik kerana dia sewajarnya menjelaskan kesilapan gurunya itu dengan cara penuh hikmah dan baik. Inilah kaedah asas dalam agama kita yang suci.

==========================
************ NOTA TAMBAHAN ************
==========================

Syair Iman As-Syafi'i berkaitan Ilmu

شعر عن طلب العلم للشافعي
أَخي لَن تَنال العِلمَ إِلّا بِسِتَّةٍ
سَأُنبيكَ عَن تَفصيلِها بِبَيانِ
ذَكاءٌ وَحِرصٌ وَاِجتِهادٌ وَبُلغَةٌ
وَصُحبَةُ أُستاذٍ وَطولُ زَمانِ

اِصبِر عَلى مُرِّ الجَفا مِن مُعَلِّمٍ
فَإِنَّ رُسوبَ العِلمِ في نَفَراتِهِ
وَمَن لَم يَذُق مُرَّ التَعَلُّمِ ساعَةً
تَذَرَّعَ ذُلَّ الجَهلِ طولَ حَياتِهِ
وَمَن فاتَهُ التَعليمُ وَقتَ شَبابِهِ
فَكَبِّر عَلَيهِ أَربَعاً لِوَفاتِهِ
وَذاتُ الفَتى وَاللَهِ بِالعِلمِ وَالتُقى
إِذا لَم يَكونا لا اِعتِبارَ لِذاتِهِ


Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment