Saturday, 7 May 2022

SIRI 348 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 1: Ibadat

Bab 1: Ibadat Ilmu Dan Kelebihannya Serta Yang Berkaitan Dengannya

Tajuk Mudarasah: Adab-adab Seorang Penuntut dan Guru
Sub-Tajuk Mudarasah: Adab-adab Seorang Penuntut

Halaman Rujukan Kitab : 19

Nota Mudarasah:

Ali r.a. berkata: Antara hak orang alim yang mesti kamu tunaikan ialah, kamu hendaklah memberi salam kepada orang ramai secara umum tetapi memberi salam kepadanya secara khusus. Kamu hendaklah duduk di hadapannya dan jangan menggerak-gerakkan isyarat tangan ketika berada di sisinya. Jangan sekali-kali kamu mengenyitkan mata di hadapannya, jangan terlalu banyak bertanya kepadanya, jangan cuba membantunya dalam memberikan sesuatu jawapan, jangan kamu mendesaknya ketika dia rasa malas dan jangan berulang-ulang kali mengajaknya jika dia enggan.

Kamu juga jangan memegang bajunya ketika dia bangkit berdiri. Jangan mendedahkan sesuatu rahsia kepadanya, jangan mengumpat seseorang di hadapannya dan jangan sengaja mencari kesilapannya. Sekiranya dia tersalah, hendaklah kamu menerima alasannya. Jangan kamu berkata kepadanya: "Aku telah mendengar si fulan berkata begini atau pendapat si fulan itu berbeza dengan kamu". Jangan kamu bercerita mengenai seorang ulamak yang lain ketika bersamanya, jangan berpaling meninggalkannya kerana terlalu lama bersamanya dan jangan kamu menolak untuk berkhidmat kepadanya. Apabila dia berhajat kepada sesuatu, sepatutnya kamu hendaklah mendahului orang lain untuk menunaikannya. Kedudukannya samalah seperti pohon kurma. Kamu menunggu nunggu bilakah sesuatu darinya akan gugur kepadamu.

Orang yang baru mempelajari ilmu perlu berwaspada daripada mendengar perkara-perkara yang menjadi perselisihan pendapat di kalangan ulamak kerana ia boleh mengelirukan akalnya dan melemahkan pemikirannya. Dia hendaklah mengambil perkara yang terbaik daripada setiap perkara. Ini kerana umurnya tidak mencukupi bagi mempelajari ke semua ilmu. Kemudian dia hendaklah menumpukan sebahagian besar tenaganya untuk mempelajari semulia-mulia ilmu iaitu ilmu berkaitan hari akhirat. Dengannya dia akan memperolehi keyakinan sepertimana yang dimiliki oleh Abu Bakar as-Siddiq r.a. sehingga Rasulullah saw. mengiktiraf beliau dengan sabda baginda yang bermaksud:
Abu Bakar mendahului kamu bukan kerana banyak berpuasa atau bersembahyang tetapi kerana sesuatu yang tertanam teguh di dalam dadanya (keyakinan),⁴⁰
40 As-Sakhawi berkata: Aku tidak mengetahui hadis ini. Lihat kitab Mukhtasar al-Maqasid (169). Ibnul Qayyim dalam kitab al-Manar al-Munif (m.s.115) berkata: Ini adalah kata-kata Abu Bakar bin Tyash. Ibnul-Jauzi dalam kitab Ghayatun Nihayah (1/327) pula berkata: Athar yang terkenal ini sebenarnya telah diriwayatkan oleh orang yang tidak dikenali dalam ilmu hadis. Sebenarnya ia adalah kata-kata Abu Bakar bin 'Iyash, bukan sabda Rasulullah s.aw..

Inilah tugas-tugas dan tanggungjawab orang yang menuntut ilmu.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment