Friday, 13 May 2022

SIRI 354 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 1: Ibadat

Bab 1: Ibadat Ilmu Dan Kelebihannya Serta Yang Berkaitan Dengannya

Tajuk Mudarasah: Pengenalan Bersuci

Halaman Rujukan Kitab : 28

Nota Mudarasah:

Bersuci terbahagi kepada empat peringkat:

Pertama : Menyucikan zahir daripada hadas, najis dan lebihan lebihan kotoran.

Kedua : Menyucikan anggota daripada noda dan dosa.

Ketiga : Menyucikan hati daripada akhlak tercela dan perkara buruk yang dimurkai.

Keempat : Menyucikan rohani daripada yang lain dari Allah Taala.

Peringkat yang keempat inilah matlamat yang paling tinggi. Sesiapa yang kuat mata hatinya, dia akan sampai ke tahap tersebut. Manakala orang yang lemah mata hatinya, dia tidak akan memahami peringkat-peringkat bersuci ini melainkan peringkat pertama sahaja. Justeru, lantaran penyakit was-was dan ilmunya yang cetek, dia menghabiskan banyak masanya dengan beristinjak dan membasuh pakaian secara berlebihan kerana menyangka bahawa itulah sahaja konsep bersuci yang dituntut.⁴⁸
48 Pada hari ini, ramai manusia ditimpa dengan penyakit was-was. Oleh itu berwaspadalah.

Orang seperti ini jahil dengan perjalanan hidup ulamak terdahulu yang menghabiskan masa mereka untuk menyucikan hati sedangkan dalam perkara zahir mereka mengambil pendekatan yang mudah. Diriwayatkan bahawa Umar bin al-Khattab r.a. telah berwudhuk menggunakan bekas air milik seorang perempuan nasrani. Tangan-tangan mereka hampir tidak dibasuh daripada kotoran yang berbau busuk. Mereka bersembahyang di atas tanah, berkaki ayam ketika berjalan dan hanya menggunakan batu ketika beristinjak.

Keadaan itu berlarutan sehinggalah timbulnya satu kumpulan manusia yang menganggap perbuatan-perbuatan bodoh itu (bersuci zahir secara berlebihan kerana penyakit was-was) sebagai asas kebersihan. Oleh kerana itu, banyak masa mereka dihabiskan dengan memperelokkan perkara-perkara zahir sedangkan batin mereka telah rosak kerana dipenuhi dengan sifat-sifat buruk seperti takabur, ujub, jahil, riya' dan nifak. Sekiranya mereka melihat orang yang hanya menggunakan batu ketika beristinjak atau berjalan berkaki ayam atau bersembahyang di tanah lapang tanpa alas atau berwudhuk menggunakan bekas seorang perempuan tua, pasti mereka akan membantah dengan sekeras-kerasnya serta menggelarkannya sebagai pengotor dan enggan makan bersamanya.

Perhatikanlah bagaimana mereka menganggap zuhud (yang termasuk sebahagian daripada iman)⁴⁹ sebagai kotor, manakala perbuatan bodoh pula sebagai kebersihan. Mereka menjadikan yang mungkar itu makruf dan yang makruf sebagai mungkar. Namun begitu, sesiapa yang bermaksud bahawa bersuci ini adalah suatu kebersihan dan tidak membazir dalam menggunakan air serta menganggap bahawa menggunakan air yang banyak bukanlah sebagai asas agama, maka itu semua bukanlah kemungkaran. Bahkan ia adalah tindakan yang baik. Sila rujuk kitab-kitab fekah untuk mengetahui hukum-hakam mengenai najis dan hadas. Kitab ini hanya membicarakan adab-adabnya sahaja.
49 Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Hidup dalam keadaan susah dan zuhud sebahagian daripada iman". Hadis hasan. riwayat Abu Daud (4161) dan Ibnu Majah (1118) daripada Abu Umamah r.a.. Al-'Allamah Muhamad Nasiruddin al-Albani telah mentakhrijkannya dalam kitab Salsilah as-Sahihah (no.341) dan berkata: la adalah hadis hasan. Sila rujuk.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment