Sunday, 15 May 2022

SIRI 356 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 1: Ibadat

Bab 1: Ibadat Ilmu Dan Kelebihannya Serta Yang Berkaitan Dengannya

Tajuk Mudarasah: Kelebihan Solat

Halaman Rujukan Kitab : 31

Nota Mudarasah:

Kelebihan Sembahyang

Sembahyang merupakan tiang agama dan amalan ketaatan yang paling utama. Banyak hadis yang masyhur menerangkan kelebihan-kelebihan sembahyang.

Antara adab terpenting dalam sembahyang ialah khusyuk. Diriwayatkan daripada Uthman r.a., bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
مَا مِنِ امْرِئٍ مُسْلِمٍ تَحْضُرُهُ صَلَاةٌ مَكْتُوبَةٌ فَيُحْسِنُ وُضُوءَهَا وَخُشُوعَهَا وَرُكُوعَهَا إِلَّا كَانَتْ كَفَّارَةً لِمَا قَبْلَهَا مِنَ الذُّنُوبِ مَا لَمْ يُؤْتِ كَبِيرَةً وَذٰلِكَ الدَّهْرَ كُلَّهُ
Apabila masuk waktu sembahyang yang diwajibkan, lalu seseorang itu menyempurnakan wuduk, khusyuk dan rukuknya, sembahyang tersebut akan menghapuskan dosa-dosanya sebelum itu selagi dia tidak melakukan dosa besar. Begitulah untuk selamanya.⁵¹
51 Riwayat Muslim (228).

Uthman juga meriwayatkan bahawa baginda bersabda:
مَنْ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ لَا يُحَدِّثُ فِيهِمَا نَفْسَهُ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Sesiapa yang bersembahyang dua rakaat dalam keadaan dia tidak bercakap-cakap dalam dirinya, diampunkan segala dosanya yang telah lalu.⁵²
52 Riwayat al-Bukhari (1/233), Muslim (266), Abu Daud (106), (107) dan an-Nasain (1/64).

Apabila Ibnu az-Zubair r.a. mendirikan sembahyang, tubuhnya tidak bergerak-gerak kerana keadaan khusyuknya seumpama sebatang kayu yang tegak. Ketika dia sujud, burung. burung akan hinggap di belakangnya kerana menyangkanya sekeping tembok. Suatu hari dia bersembahyang di Hijir Ismail. Tiba-tiba jatuh sebiji batu kerana lontaran minjanik⁵³ sehingga sebahagian pakaiannya terkoyak, tetapi dia tidak berganjak sedikit pun.
53 Minjanik adalah lastik besar yang digunakan untuk menyerang musuh yang berkubu dan memecahkan benteng. Peristiwa ini berlaku apabila tentera Hajjaj bin Yusuf as-Thaqafi menyerang Ibnu Zubair di Mekah -pent.

Berkata Maimun bin Mihran: Aku tidak pernah sekali-kali melihat Muslim bin Yasar berpaling ketika sembahyang. Suatu ketika, satu sudut masjid telah roboh dan orang ramai menjadi kelam kabut tetapi dia tetap tenang bersembahyang dan tidak berpaling sedikitpun. Apabila dia masuk ke rumah, seluruh ahli keluarganya akan diam. Apabila dia mendirikan sembahyang, mereka mula bercakap dan berketawa.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment