Saturday, 21 May 2022

SIRI 362 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 1: Ibadat

Bab 1: Ibadat Ilmu Dan Kelebihannya Serta Yang Berkaitan Dengannya

Tajuk Mudarasah: Sembahyang Sunat

Halaman Rujukan Kitab : 41

Nota Mudarasah:

Sembahyang Sunat

Sembahyang sunat terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu sunnah, mustahab dan tatowwu'.

Maksud sunnah ialah sembahyang sunat yang sentiasa dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. seperti sembahyang-sembahyang sunat yang mengiringi sembahyang fardu (rawatib), witir dan dhuha.

Mustahab pula ialah sembahyang sunat yang diberitahu kelebihannya oleh hadis-hadis walaupun tidak diceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. sentiasa melakukannya seperti sembahyang sunat ketika masuk rumah dan keluar daripadanya.

Tatowwu' ialah sembahyang selain daripada yang disebutkan di atas. Iaitu sembahyang yang tidak ada hadis khusus yang menyebut mengenainya. Tetapi hamba melakukannya secara sukarela.

Ketiga-tiga bahagian di atas dikenali sebagai "an-nawafil" (kata jamak (plural) kepada kalimah an-nafl. Makna an-nafl ialah tambahan kerana sembahyang-sembahyang ini adalah tambahan kepada sembahyang-sembahyang fardu.

Ketahuilah bahawa ibadat sunat fizikal yang paling afdal ialah sembahyang. Jenis-jenis sembahyang sunat dan kelebihannya banyak disebutkan dalam kitab-kitab fekah dan lainnya. Di sini kami hanya menyebutkan sembahyang sunat tasbih. Ini kerana sebahagian manusia tidak mengetahui caranya.

Ikrimah meriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda kepada al-Abbas yang bermaksud:
Wahai bapa saudaraku, mahukah aku ajarkan kamu... - disebut hadis tersebut sehingga kepada sabda baginda - kamu sembahyang empat rakaat. Pada setiap rakaat bacalah al-fatihah dan satu surah yang lain. Setelah selesai membacanya pada rakaat pertama, sedang kamu masih berdiri, kamu hendaklah membaca:
سُبْحَانَ اللهِ وَالحَمْدُ ِللهِ وَلَا إِلٰهَ إِلَّا اللهُ وَاللهُ أَكْبَر
sebanyak lima belas kali. Kemudian kamu rukuk dan kamu membacanya (zikir tersebut) sebanyak sepuluh kali. Kemudian kamu bangkit dari rukuk lalu kamu membacanya sepuluh kali. Kemudian kamu turun sujud dan ketika sujud kamu membacanya sepuluh kali. Kemudian kamu bangkit dari sujud dan membacanya sepuluh kali. Kemudian kamu sujud lalu membacanya sepuluh kali. Setelah bangkit dari sujud kamu membacanya sepuluh kali sebelum bangun berdiri rakaat kedua. Semuanya berjumlah tujuh puluh lima kali. Kamu lakukan sedemikian pada setiap rakaat. Jika mampu, kamu lakukannya setiap hari sekali, jika tidak mampu, kamu lakukan pada setiap Jumaat sekali. Jika tidak mampu, lakukannya sekali sebulan. Jika tidak mampu, lakukannya sekali setahun. Sekiranya tidak mampu juga, kamu dirikannya sekali seumur hidup.⁷⁰
70 Komentar ulamak mengenai hadis ini telah disebutkan sebelumnya.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment