Tuesday, 24 May 2022

SIRI 365 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 1: Ibadat

Bab 3: Zakat: Rahsia Dan Segala Yang Berkaitan Dengannya

Tajuk Mudarasah: Adab-adab dalam Menunaikan Kewajipan Zakat

Halaman Rujukan Kitab : 45

Nota Mudarasah:

Adab-adab dalam Menunaikan Kewajipan Zakat

Terdapat beberapa tugas kepada pencinta akhirat ketika menunaikan zakatnya:

Memahami tiga maksud kewajipan zakat, iaitu sebagai ujian kepada orang yang mengaku mencintai Allah dengan mengeluarkan sesuatu yang dicintainya, membersihkan diri daripada sifat bakhil yang merosakkan dan bersyukur kepada Allah di atas nikmat harta.

Mengeluarkannya secara sembunyi. Ini menjauhkan dirinya daripada riya' dan bermegah-megah. Menzahirkan pengeluarannya juga boleh menyebabkan penghinaan kepada golongan fakir. Sekiranya dia bimbang akan dituduh tidak mengeluarkan zakat, dia boleh memberikannya secara terangan kepada golongan fakir yang tidak kisah untuk menerimanya di depan khalayak ramai. Manakala golongan fakir yang lain diberikannya secara senyap senyap.

iii. Tidak merosakkannya dengan ungkitan dan menyakiti hati orang yang menerimanya. Ia mungkin berlaku apabila seseorang itu merasakan dirinya telah berlaku baik kepada golongan fakir dan sebagai pemberi nikmat kepada mereka. Namun jika dia perhatikan dengan teliti, nescaya dia dapati bahawa golongan fakir itulah sebenarnya yang berbuat baik kepadanya kerana kesediaan mereka menerima hak Allah yang akan menyucikan dirinya juga.

Sekiranya zakat yang dikeluarkan itu semata-mata kerana mensyukuri nikmat harta, ia bererti dia tidak mempunyai apa apa urusan dan kaitan dengan golongan fakir kerana urusan dan hubungannya ketika itu hanyalah dengan Allah Taala sahaja (ikhlas kepada-Nya). Seseorang tidak harus dipandang hina kerana kefakirannya. Kelebihan bukanlah disebabkan hartanya manakala kekurangan atau kehinaannya pula bukanlah disebabkan ketiadaannya.

iv. Merasakan pemberiannya itu adalah kecil dan tidak seberapa. Seseorang yang merasakan bahawa perbuatannya adalah sesuatu yang besar dan hebat, dia tentu tidak terlepas dari perasaan berbangga diri (ujub). Terdapat kata-kata cerdik pandai: Sesuatu kebajikan tidak akan sempurna melainkan dengan tiga perkara iaitu memandangnya kecil. menyegerakannya dan melakukannya secara sembunyi.

v. Memilih daripada hartanya yang halal, terbaik dan paling dikasihinya. Memilih yang halal kerana Allah itu baik dan dia tidak akan menerima melainkan yang baik⁷³. Memilih yang terbaik kerana Allah Taala berfirman:
73 Sebagaimana dalam hadis Abu Hurairah r.a. yang diriwayatkan oleh Muslim (1015) dan at-Tirmizi (2992).:

وَلَا تَيَمَّمُوا الْخَبِيثَ مِنْهُ تُنْفِقُونَ
Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya lalu kamu dermakan (atau kamu jadikan pemberian zakat).
(Al-Baqarah: 267)


Di sini ada dua perkara yang perlu diperhatikan:

a) Hak Allah Taala yang harus dilaksanakan iaitu dengan mengagung dan membesarkan-Nya. Antaranya ialah dengan memperelokkan cara perlaksanaannya. Kerana Allah lebih berhak untuk dipilih yang terbaik (demi beribadat kepada Nya). Sekiranya seseorang itu menyediakan makanan yang tidak elok kepada tetamunya, dia pasti akan menyakitkan hatinya.

b) Hak dirinya. Harta yang diberikan itulah yang akan ber temu dengannya pada hari kiamat kelak. Oleh itu, dia hendak lah memilih yang terbaik demi kebaikan dirinya sendiri.

Manakala memilih yang paling dikasihi pula adalah kerana mengikut firman Allah Taala::
لَنْ تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنْفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ
Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sehinggalah kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi.
(Aali-Imran: 92)


Ibnu Umar r.a., apabila beliau terlalu cintakan sesuatu daripada hartanya, beliau akan sedekahkannya kerana menghampirkan diri (taqarrub) kepada Allah Taala. Diriwayatkan bahawa suatu hari beliau singgah di Juhfah dalam keadaan mengadu sakit. Beliau berkata: Aku terlalu ingin memakan beberapa ekor ikan. Lalu ahli rombongan bersusah payah mencari ikan untuknya dan akhirnya dapatlah seekor. Isterinya pun mengambil ikan tersebut dan memasaknya. Ketika ikan itu di bawa kepadanya, tiba-tiba datang seorang miskin yang meminta minta. Ibnu Umar terus berkata: Ambillah ikan ini. Isterinya berkata kepadanya: Subhanallah, engkau telah membuatkan kami bersusah payah bagi memenuhi hajat engkau, sedangkan bersama kita ada bekalan lain yang kamu boleh berikan kepadanya. Lalu beliau berkata: Ini kerana Abdullah bin Umar sangat menyukainya.

Diriwayatkan bahawa seorang peminta sedekah berdiri di hadapan pintu rumah ar-Rabi' bin Khuthaim r.hm.. Beliau terus berkata: Berikan kuih-kuih manis kepadanya. Mereka berkata: Jika kami berikannya roti, tentu lebih bermanfaat kepadanya. Dia berkata: Celaka kamu semua, berikan kuih-kuih manis kepadanya, kerana ar-Rabi' sangat sukakan makanan tersebut.

vi- Mencari orang yang baik untuk menerima zakatnya. Mereka adalah golongan yang khusus di kalangan lapan asnaf yang umum. Sifat-sifat mereka ialah: Zakatnya hendaklah dikhususkan kepada orang yang bertakwa.

a) Takwa.

Ia boleh menambahkan lagi keghairahan mereka untuk beribadat kepada Allah Taala.

Amir bin Abdullah bin az-Zubair mencari ahli ibadat yang berada dalam keadaan sujud. Dia datang membawa satu uncang emas dan perak kepada mereka. Dia meletakkannya di sisi kasut. kasut mereka di mana mereka menyedari kewujudan harta tersebut tetapi tidak mengetahui tempat tinggal pemberinya. Lalu beliau ditanya: Kenapa kamu tidak hantarkan terus sedekahmu itu kepada mereka? Beliau menjawab: Aku tidak mahu seorangpun di kalangan mereka yang berubah wajah kerana malu apabila melihat utusan aku atau ketika bertembung denganku.

b) Berilmu.

Memberikan zakat kepada orang alim yang akan menolongnya dalam mencari dan menyebarkan ilmu agama. Ini akan menguatkan lagi syariat.

c) Orang yang yakin bahawa nikmat hanyalah datang dari pada Allah Taala.

Mereka tidak memandang kepada manusia yang menjadi sebab kepada datangnya kenikmatan itu, melainkan sekadar untuk berterima. kasih kepadanya kerana dianjurkan oleh agama. Orang yang sentiasa memuji ketika menerima, pasti akan mengeji apabila tidak diberi.

d) Seorang yang tidak menunjuk-nunjukkan kefakirannya, menyembunyikan hajat atau keperluannya dan tidak suka mengadu.

Sebagaimana firman Allah Taala::
يَحْسَبُهُمُ الْجَاهِلُ أَغْنِيَاءَ مِنَ التَّعَفُّفِ
Mereka itu disangka: orang kaya oleh orang yang tidak mengetahui halnya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta.
(Al-Baqarah: 273)

Golongan ini sukar ditemui melainkan setelah dicari dengan bersungguh-sungguh dengan bertanyakan penduduk setiap tempat untuk mengetahui siapakah yang bersifat sedemikian.

e) Orang yang mempunyai tanggungan keluarga atau orang yang terhalang daripada keluar bekerja disebabkan sakit atau hutang.

Mereka ini dinamakan golongan muhsorin (yang terbatas pergerakannya). Bersedekah kepada mereka merupakan satu usaha untuk merungkai halangan tersebut.

f) Ahli keluarga dan kaum kerabat.

Mengeluarkan zakat kepada mereka merupakan satu sedekah dan pada waktu yang sama dapat menghubungkan silaturrahim. Mereka lebih afdal untuk diberikan zakat kerana terhimpun dua perkara tersebut. Sesiapa yang mempunyai dua atau lebih sifat yang tersebut di atas, maka pemberian kepada mereka adalah lebih afdal.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment