Tuesday, 31 May 2022

SIRI 372 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 1: Ibadat

Bab 4: Puasa: Rahsia, Peranan Dan Perkara Yang Berkaitan Dengannya

Tajuk Mudarasah: Mukaddimah Puasa

Halaman Rujukan Kitab : 55

Nota Mudarasah:

Puasa mempunyai keistimewaan yang tidak ada pada yang lain. Ini terbukti apabila Allah menyandarkan puasa itu kepada-Nya sebagaimana firman-Nya dalam satu hadis Qudsi:
الصَّوْمُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ
Puasa itu untuk Ku dan Akulah yang akan membalasnya.⁸⁵
85 Hadis riwayat al-Bukhari (4/88), Muslim (1151), (161), Malik (1/310), at Tirmizi (764), an-Nasaio (4/162-165) dan al-Baghawi (1710).

Sandaran puasa kepada Allah itu sudah cukup untuk menunjuk kan kemuliaannya sebagaimana kemuliaan Baitullah apabila disandarkan kepada Allah Taala sebagaimana dalam firman-Nya:
وَطَهِّرْ بَيْتِىَ
Dan bersihkanlah rumah-Ku (Kaabah ini)
(Al-Haj:26)

Kelebihan puasa disebabkan dua perkara:

1. Ia adalah rahsia dan merupakan amalan batin yang tidak diketahui oleh orang ramai dan jauh daripada perasaan riya".

2. la merupakan penentangan kepada musuh Allah iaitu syaitan. Ini kerana nafsu syahwat adalah alat kepada syaitan. Nafsu syahwat menjadi kuat dengan makan dan minum. Selagi mana ladang syahwat subur, syaitan akan sentiasa berulang-alik padanya. Meninggalkan perkara yang menyuburkan syahwat, akan menyempitkan jalan syaitan.

Terdapat banyak hadis yang menunjukkan kelebihan puasa dan ianya masyhur di kalangan masyarakat Islam.

Sunat-sunat Puasa

Disunatkan bersahur dan melewatkannya (pada akhir malam) serta menyegerakan berbuka dan memulakannya dengan memakan buah kurma. Begitu juga disunatkan bersifat pemurah pada bulan Ramadhan, melakukan kebaikan dan banyak bersedekah kerana mencontohi Rasulullah s.a.w..⁸⁶
86 Terdapat banyak hadis sahih mengenainya.

Disunatkan juga bertadarus al-Quran dan beriktikaf pada bulan Ramadhan terutamanya sepuluh hari terakhir dengan mempertingkatkan lagi mujahadah padanya.

Dalam satu hadis daripada Aisyah r.ha., katanya:
كَانَ النَّبِيُّ ﷺ إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ شَدَّ مِـْٔزَرَهُ، وَأَحْيَا لَيْلَهُ، وَأَيْقَظَ أَهْلَه.
Apabila masuk sepuluh hari terakhir, Nabi s.a.w. mengikat kain sarungnya, menghidupkan malam dan membangunkan keluarganya.⁸⁷
87 Riwayat al-Bukhari (4/233), Muslim (1174), Abu Daud (1376), at-Tirmizi (796) dan an-Nasaie (3/218).

Ulamak menyebut mengenai makna 'mengikat kain sarung" dengan dua maksud:

i. Berpaling meninggalkan isteri-isteri.

ii. Kinayah (kiasan) tentang kesungguhan dalam beramal.

Ulamak berkata: Kesungguhan baginda pada sepuluh malam terakhir adalah kerana mencari malam al-Qadar.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment