Monday, 6 June 2022

SIRI 378 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 1: Ibadat

Bab 5: Haji: Rahsia, Kelebihan Dan Adab-Adabnya

Tajuk Mudarasah: Adab dan Rahsia-rahsia Haji

Halaman Rujukan Kitab : 61

Nota Mudarasah:

Adab dan Rahsia-rahsia Haji

Jalan untuk sampai kepada Allah ialah dengan bersendirian dan tulus beribadat kepada-Nya. Para rahib terdahulu bersendirian di bukit-bukau semata-mata untuk menjinakkan hati mereka kepada Allah. Justeru, Allah jadikan ibadah haji sebagai jalan kerahiban kepada umat ini.

Antara adab-adabnya ialah:

i. Menjauhkan diri daripada aktiviti perniagaan yang boleh mengganggu hati dan niatnya untuk mengerjakan haji, supaya dia dapat memfokuskan perhatian sepenuhnya untuk beribadat kepada Allah Taala.

ii. Berada dalam keadaan kusut masai, berdebu, selekeh dan tidak terlalu berhias.

iii. Menjauhi daripada menaiki usungan melainkan kerana keuzuran seperti tidak dapat berpegang kemas ketika menunggangi unta yang membawa barangan dan makanan. Nabi s.a.w. menunaikan haji dengan menunggangi unta dalam keadaan berlapikkan pelana yang telah usang dan buruk.⁹⁴
94 Riwayat Ibnu Majah (2890). Pada sanadnya terdapat Rabi' bin Sobih. Beliau seorang yang benar tetapi lemah hafalannya. Walau bagaimanapun al-Albani telah mensahihkannya dalam kitab Sahih al-Jami' (1313). Sila rujuk.

Jabir r.a. meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
إِنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ يُبَاهِي بِالحَجِّ المَلَائِكَةُ فَيَقُولُ: أُنْظُرُوا إِلَى عِبَادِي أَتَوْنِي شُعْثًا غُبْرًا مِنْ كُلِّ فَجِّ عَمِيْقٍ أَشْهَدُكُمْ أَنِّي قَدْ غَفَرْتُ لَهُمْ
Sesungguhnya Allah berbangga dengan jamaah haji di hadapan para malaikat dengan berfirman: Lihatlah kepada hamba-hamba-Ku itu, mereka datang dalam keadaan kusut masai dan berdebu dari setiap ceruk yang jauh. Aku bersaksi kepada kamu semua bahawa Aku telah mengampuni dosa-dosa mereka.⁹⁵
95 Riwayat Ibnu Hibban daripada Jabir dan Abu Hurairah r.a.. Diriwayatkan juga oleh Ahmad dan at-Tobrani daripada Ibnu Amru r.a.. Hadis sahih, lihat dalam kitab Sahih al-Jami' (1863), (1864) dan kitab Syarh al-Ihya' (4/438).

Allah Taala telah memuliakan rumah-Nya dan mengagung-agungkannya. Dia mendirikannya untuk dijadikan tempat tumpuan hamba-hambaNya. Menjadikan sekitarnya sebagai tanah haram kerana mengagungkan hal dan keadaannya. Dia juga menjadikan Arafah seperti dataran di halaman rumah-Nya (ka'bah).

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment