Thursday, 21 July 2022

SIRI 421 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 2: Adat Kebiasaan

Bab 9: Perkahwinan: Adab-Adab Dan Yang Berkaitan Dengannya

Tajuk Mudarasah: Tanggungjawab Suami Isteri
Sub Tajuk Mudarasah: Tanggungjawab Suami

Halaman Rujukan Kitab : 125

Nota Mudarasah:

xii. Antara perkara yang berkait dengan perkahwinan ialah talak (perceraian). Ia adalah perkara harus yang paling dibenci oleh Allah Taala¹⁸⁹. Makruh kepada seorang suami terburu-buru dalam menceraikan isterinya yang tidak berdosa dan tidak harus bagi seorang isteri mendesak suaminya supaya menceraikannya.
189 Hadis yang bermaksud perkara halal yang paling dibenci di sisi Allah alah talak merupakan hadis yang daif. Dikeluarkan oleh Abu Daud (2178) dan al-Baihaqi (7/322) daripada Ibnu Umar r.a.. Al-'Allamah al-Albani telah memperkatakan tentangnya dalam kitab Irwa'ul Ghalil (2010) dan dirasakan tidak perlulah ditambahkan lagi.

Sekiranya mahu bercerai, dia hendaklah mengambil kira empat perkara:¹⁹⁰
190 Lihat perkara tersebut beserta dengan dalil-dalil ilmiyyah dalam risalah al-Isti'nas li Tashih Ankihati al-Nas oleh al-Qasimi, yang telah aku semak cetakan Dar Ammar lin-Nasyri wat- Tawziek, Amman 1985.

a) Menceraikannya dalam keadaan suci dan belum disetubuhi pada waktu suci tersebut. Ini bagi mengelakkan isterinya beriddah dalam tempoh yang panjang.

b) Menceraikannya dengan talak satu supaya boleh rujuk semula jika dia menyesal.

c) Berlemah lembut dalam perkara yang berkait dengan talak dengan memberikan sesuatu yang boleh menghiburkan untuk merawat kedukaannya. Diriwayatkan daripada al-Hasan bin Ali r.a. bahawa beliau telah menceraikan isterinya dan memberi kepadanya 10 ribu dirham. Isterinya berkata: Harta benda yang sedikit daripada kekasih yang telah berpisah dariku.

d) Tidak mendedahkan rahsia isterinya. Dalam hadis sahih riwayat Muslim menyebut yang bermaksud:

Manusia yang paling buruk kedudukannya di sisi Allah pada hari kiamat ialah seorang suami memuaskan nafsunya dengan isterinya dan begitulah juga sebaliknya tetapi selepas itu dia menyebar-nyebarkan rahsia isterinya.¹⁹¹
191 Riwayat Muslim (1437), Abu Daud (4870) dan Ahmad (3/69) daripada Abu Sa'id al-Khudri r.a...

Diriwayatkan bahawa ketika seorang yang soleh mahu menceraikan isterinya, dia telah ditanya: Apakah yang mengelirukan kamu terhadap dirinya? Dia berkata: Seorang yang berakal tidak akan mendedahkan rahsia. Apabila menceraikannya, dia ditanya pula: Kenapa kamu menceraikannya? Jawabnya: Apa kena mengena antaraku dengan perempuan yang bukan lagi menjadi milikku.

Semua penjelasan di atas adalah berkait dengan tanggung-jawab suami.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment