Friday, 22 July 2022

SIRI 422 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 2: Adat Kebiasaan

Bab 9: Perkahwinan: Adab-Adab Dan Yang Berkaitan Dengannya

Tajuk Mudarasah: Tanggungjawab Suami Isteri
Sub Tajuk Mudarasah: Tanggungjawab Isteri

Halaman Rujukan Kitab : 126

Nota Mudarasah:

Tanggunggjawab Isteri

Antaranya ialah sebagaimana berikut:

Daripada Abu Umamah r.a. katanya: Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
لَوْ كُنْتُ آمِرًا أَحَدًا أَنْ يَسْجُدَ لأَحَدٍ لأَمَرْتُ الْمَرْأَةَ أَنْ تَسْجُدَ لِزَوْجِهَا
Kalaulah seseorang itu diharuskan sujud kepada seseorang yang lain, nescaya aku perintahkan seorang isteri supaya sujud kepada suaminya.¹⁹²
192 Riwayat at-Tirmizi (1159) daripada Abu Hurairah r.a. dan Abu Daud (2140) daripada Qis bin Sa'ad r.a.. Juga diriwayatkan daripada Muaz, Aisyah, Ibnu Umar dan lain-lain r.a.. Hadis sahih.

Ini menggambarkan betapa besarnya tanggungjawab isteri terhadap suaminya.

Terdapat banyak hadis berkenaan dengannya yang menunjukkan betapa tanggunggjawab isteri terhadap suami adalah perkara yang sangat besar dan dititikberatkan.

Terdapat banyak hak suami yang wajib ditunaikan oleh isteri. Antara yang terpenting ialah dua perkara:

i- Menutup dan memelihara dirinya.

ii- Bersifat qana'ah iaitu berpada dengan apa yang ada. Inilah kebiasaan para isteri ulamak salaf. Apabila seseorang suami di kalangan mereka mahu keluar dari rumahnya, isterinya akan berkata: Jauhkan diri kamu daripada mendapatkan hasil yang haram. Sesungguhnya kami boleh bersabar kerana lapar tetapi kami tidak dapat bersabar menanggung azab api neraka.

Antara tanggungjawab isteri terhadap suaminya juga ialah tidak cuai dalam menjaga dan menguruskan harta suaminya. Sekiranya dia memberi makan kepada orang lain dengan keredaan suaminya, dia akan mendapat pahala seumpama pahala suaminya. Sekiranya tanpa keredaannya, suaminya mendapat pahala tetapi dia mendapat dosa.

Kedua ibubapa hendaklah mendidik anak perempuannya sebelum menjadi isteri supaya dia mengetahui adab-adab pergaulan dan seumpamanya. Seorang isteri seharusnya mendiami rumahnya (jangan keluar darinya kecuali untuk perkara yang mesti dilakukannya), kurang bercakap atau berbual dengan jirannya, banyak berdiam diri ketika ketiadaan suaminya, menjaga maruah suaminya sama ada ketika ketiadaaannya atau kehadirannya, berusaha menggembirakannya dalam semua keadaan, jangan mengkhianati sama ada pada diri sendiri dan juga hartanya, tidak membenarkan sesiapa yang tidak disukai oleh suaminya memasuki rumahnya dan tidak mengizinkan sesiapapun memasuki rumahnya tanpa keizinan suaminya. Hendaklah dia berusaha memperbaiki dirinya dan pengurusan rumahtangganya serta sentiasa berkhidmat menguruskannya dalam semua perkara yang termampu. Seorang isteri juga hendaklah mendahulukan hak suaminya daripada haknya dan juga hak seluruh kaum kerabatnya.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment